LDP akan naik taraf infrastruktur asas

Penduduk kampung yang hadir dalam program santai-santai di Kampung Kitobu, Inanam, Kota Kinabalu malam tadi.
Penduduk kampung yang hadir dalam program santai-santai di Kampung Kitobu, Inanam, Kota Kinabalu malam tadi.
A
A
A

KOTA KINABALU - Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Tan Sri Chong Kah Kiat mahu kemudahan infrastruktur asas dapat diberikan kepada rakyat Inanam sekiranya Parti Liberal Demokratik (LDP) diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Kah Kiat yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP berkata, sudah 20 tahun berlalu ketika beliau menjadi Menteri Pelancongan ketika itu namun sehingga kini kemudahan asas infrastruktur masih belum dinikmati penduduk di beberapa kawasan.

"Kampung Kitobu ini saya pernah datang 20 tahun lalu, melalui kampung ini saya merasmikan Orchid De Villa (taman orkid).

"Ketika itu tiada apa-apa (kemudahan), selepas saya menjawat jawatan Menteri Pelancongan, kita buat jalan raya. Hari ini saya kembali semula selepas 20 tahun, tetapi paip air pun tiada," katanya ketika ditemui pada program santai-santai bersama penduduk Kampung Kitobu, Inanam malam tadi.

Chong Kah Kiat
Chong Kah Kiat

Katanya, jika pengundi di Inanam yakin kepada LDP, pelbagai perkara akan diberi perhatian termasuk membabitkan kemudahan asas dan peluang pekerjaan kepada golongan muda.

"Kita akan menaik taraf kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, paip air dan sebagainya untuk dinikmati penduduk.

"Begitu juga anak muda, kita akan pastikan mereka tidak berhijrah ke mana-mana, Singapura atau ke Semenanjung.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan menubuhkan banyak aktiviti ekonomi di sini kerana di Sabah khususnya di Inanam, kita ada banyak produk tempatan yang boleh dipasarkan dan dikomersialkan," katanya.

Sehubungan itu, Kah Kiat mahu golongan muda ini diberi peluang kerana mereka adalah pimpinan barisan hadapan di Sabah.

"Kita lihat malam ini, ramai daripada mereka adalah golongan muda yang terlibat dalam politik dan ini tanda yang baik untuk Sabah," katanya.

Terdahulu, hadir sama dalam program itu ialah calon daripada LDP bagi kerusi DUN Darau, Sumali @ Marino Ahmad dan calon kerusi DUN Karambunai, Datuk Seri Marajoh Unding.

Kerusi DUN Inanam akan menyaksikan pertandingan 10 penjuru termasuk tiga calon bebas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!