Tidak daftar MySejahtera, lima lelaki dikompaun
BUTTERWORTH- Lima lelaki dikenakan kompaun kerana tidak mendaftar nama dan nombor telefon melalui aplikasi MySejahtera di sebuah kafe di Pusat Perniagaan Raja Uda, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua yang dikompaun adalah pemilik premis, pelayan dan pelanggan di kafe terbabit.
Menurutnya, serbuan dalam Operasi Bersepadu pada jam 11.30 malam itu turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"Operasi yang dijalankan malam tadi adalah operasi yang berterusan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Dalam operasi itu, kita mengeluarkan kompaun kepada lima lelaki di sebuah kafe.
"Mereka yang dikompaun berusia lingkungan 29 hingga 41 tahun itu didapati tidak mendaftar butir peribadi ke dalam aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis tersebut," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, kesemua lelaki tersebut dijalankan ujian suhu badan dan mereka berada dalam keadaan sihat.
"Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 8) 2020.
"Premis itu turut diarahkan tutup selama tujuh hari oleh MBSP kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!