Media sosial cabaran kepada PDRM

Mohammad Fuzi (tengah) bersama pegawai-pegawai polis yang hadir mesyuarat bersama KJPJKK.
Mohammad Fuzi (tengah) bersama pegawai-pegawai polis yang hadir mesyuarat bersama KJPJKK.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Pelbagai isu yang dipaparkan di media sosial turut menjadi cabaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga tetap mengundang persepsi rasa tidak puas hati oleh segelintir masyarakat terhadap perkhidmatan unit badan uniform berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, berikutan itu, sebuah pasukan khas turut ditubuhkan di Bukit Aman untuk menangani kepelbagaian isu siber yang timbul ini sekaligus mendepani cabaran media sosial ini.

“Kita (PDRM) sentiasa bertungkus lumus untuk menurunkan kadar jenayah, tetapi dari segi persepsi ini seolah-olah masih tidak dapat meyakinkan rakyat dan perkara ini sedang kita usahakan.

“Kita juga berhadapan dengan isu sosial media yang banyak menjadi cabaran kepada kita. Di peringkat Bukit Aman telah menubuhkan taskforce (pasukan khas) untuk menangani isu siber, tetapi kemampuan kita mungkin terhad.

“Jadi, kita akan fikirkan bagaimana cara untuk meningkatkan kemampuan dalam memperbaiki keadaan yang berkaitan dengan persepsi ini. Oleh itu, kita tidak berdiam diri, segala langkah akan terus diambil untuk mengatasi perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu persepsi rakyat terhadap perkhidmatan PDRM masih lemah meskipun kadar jenayah di seluruh negara telah dapat diturunkan.

Pada tahun lalu, PDRM berjaya menurunkan kadar jenayah di seluruh negara 11.9 peratus secara keseluruhannya yang mana Johor turut berjaya menurunkan jumlahnya yang sama di peringkat pusat.

Terdahulu, beliau hadir sidang media selepas mesyuarat bersama Pengarah Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama; Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dan Pengarah KJPKK Bukit Aman, Datuk Seri Rusli Abdul Rahman.

Majlis tersebut merupakan satu persidangan tahunan yang julung kali diadakan dan bertujuan untuk membuat perancangan strategik secara sistematik untuk melaksanakan penugasan yang diberikan sepanjang tahun ini.

Mohammad Fuzi berkata, walaupun pihaknya mengalami kekangan bajet untuk melaksanakan pelbagai program, tetapi PDRM tetap menggunakan pendekatan mengadakan hubungan dengan masyarakat melalui pelbagai cara.

“Seperti di Johor yang mempunyai hubungan baik bersama kerajaan negeri dengan mengadakan townhall yang melibatkan rakyat dari daerah ke daerah.

“Kita juga turut menggalakkan penggunaan masjid dan surau untuk yang beragama Islam dan tokong, kuil dan gereja untuk bukan beragama Islam dengan harapan semua pihak yang terlibat dapat membantu kita terutama dari segi penyaluran maklumat dalam usaha menurunkan kadar jenayah,” katanya.

Selain itu, ujarnya, pihaknya telah mengarahkan KJPJKK bersama pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk memikirkan cara bagi melantik konsultan yang bersesuaian dan mempunyai kepakaran dalam hal ini sekaligus meningkatkan kadar persepsi rakyat terhadap PDRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!