Tiga beranak termasuk pengarah jabatan kerajaan direman
PUTRAJAYA - Tiga sekeluarga termasuk seorang pengarah bahagian di sebuah jabatan kerajaan direman empat hari mulai hari ini untuk membantu siasatan kes menerima suapan bagi mempercepat siasatan dan rayuan mengurangkan kompaun terhadap beberapa pemilik bot nelayan.
Perintah reman hingga 18 September itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.
Menurut sumber SPRM, pengarah itu bersama anak perempuan dan menantunya yang berumur 32 hingga 59 tahun ditahan antara 11.50 pagi dan 12.10 tengah hari semalam di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.
Mereka dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna oren dan tangan bergari.
Menurut sumber SPRM, pengarah itu dipercayai meminta dan menerima suapan antara RM500 dan RM2,000 daripada pemilik bot nelayan tempatan.
Suapan itu sebagai balasan untuk mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik bot nelayan yang melanggar peruntukan Akta Perikanan 1985 supaya mereka boleh mendapatkan semula bot-bot mereka yang telah ditahan, katanya.
Menurut sumber SPRM itu, wang suapan disyaki didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya.
Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata, kesemua individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
SPRM turut menyita wang tunai dianggarkan berjumlah lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!