Jangan tolak vaksin hawar berdarah
KUALA TERENGGANU - Vaksin untuk mencegah penyakit hawar berdarah dalam kalangan haiwan ternakan adalah percuma, yang diperlukan hanya kerjasama penternak supaya memberi kebenaran suntikan dilakukan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya adakala mengalami kesukaran melaksanakan langkah pencegahan kerana sikap tidak ambil peduli tentang kepentingan vaksin.
“Apabila ada kes wabak yang melanda ternakan lembu kerbau seperti hawar berdarah dikesan di sesuatu lokasi, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan segera melakukan tindakan pencegahan dengan pemberian vaksin kepada semua ternakan yang berada dalam daerah dan kawasan sekitar.
“Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) jabatan supaya wabak tak merebak. Pemberian vaksin itu dilakukan secara percuma sahaja. Hanya kerjasama daripada pemilik ternakan yang diperlukan dan saya yakin stok vaksin yang ada adalah mencukupi, “ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Dr Azman berkata, terdapat segelintir penternak yang menolak permohonan JPV kerana beranggapan ternakan mereka sihat hingga proses mencegah penularan terganggu, yang akhirnya membawa kematian ternakan dalam kuantiti yang banyak.
Katanya, penyakit hawar berdarah dikesan berlaku di Terengganu pada 2018 dan JPV telah mengambil tindakan sepatutnya sebagaimana SOP.
“Apabila mula dikesan pada 2018 hingga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 proses vaksin telah dilakukan secara berterusan. Tanpa vaksin, jangkitan dan kematian ternakan boleh berlaku tanpa dijangka. Vaksin sebagai suatu ikhtiar pencegahan. Tanpa ikhtiar kita tidak boleh berserah begitu sahaja.
“Biasa berlaku apabila berlaku kematian barulah pemilik yang asalnya tidak memberikan kerjasama, mengizinkan baki ternakan mereka yang masih hidup diberikan vaksin,” katanya yang turut berharap agar penternak di negeri itu mengubah sikap dan mendengar saranan JPV.
Dr Azman juga menggesa penternak mengambil langkah pencegahan dengan mengasingkan haiwan ternakan bergejala serta segera melaporkan kepada JPV untuk mengambil vaksin dalam tempoh terdekat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah
36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan
Semalam tular tentang kematian 36 ekor kerbau peliharaan keluarga ‘Kampung Boy’ atau Muhammad Syukur Khamis, 15, secara berperingkat sejak Rabu lalu dan pagi ini enam ekor lagi mengalami nasib sama yang dipercayai akibat hawar berdarah. Hingga kini, siasatan mengesan punca kematian itu masih giat dilakukan oleh pihak JPV.
Sementara itu, Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Tarmizi Ghazali berkata, dari 9 hingga 28 Ogos lepas, seramai 13 penternak turut mengalami musibah itu, melibatkan kematian 22 ekor kerbau dan 15 ekor lembu, di Kampung Tuman Jerong, Marang.
Pihaknya mengesan terdapat jangkitan penyakit hawar berdarah atau ‘hemorrhagic septicemia’ pada haiwan berkenaan dan susulan itu, operasi pemvaksinan dilakukan bermula 30 Ogos di 12 kampung, ke atas 675 ekor lembu dan 58 kerbau, milik 106 penternak.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!