MPV Honda Civic kereta peronda baharu PDRM
KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan kereta peronda polis (MPV) terbaharu model Honda Civic 1.8S yang dilengkapi peralatan komunikasi dan kamera berteknologi terkini di destinasi pelancongan di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan industri pelancongan dan menarik lebih ramai pelawat domestik serta antarabangsa bercuti ke negara ini.
“PDRM menerima daripada kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) tambahan sebanyak 425 buah kereta Honda Civic 1.8S dilengkapi peralatan komunikasi RMPNet, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih yang menelan kos keseluruhan bernilai RM67 juta.
“Kereta ini bagi kegunaan penugasan cawangan MPV dan sekurang-kurangnya seunit akan diserahkan kepada Unit Polis Pelancong (UPP) di semua kontinjen di seluruh negara bagi tujuan rondaan di destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kereta Peronda Honda Civic 1.8S dan Lori Hino Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Terdahulu, majlis penyerahan 20 MPV Honda Civic 1.8S dan 10 lori model Hino kepada Kontinjen Kelantan dilakukan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Azizi.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kelengkapan aksesori berteknologi daripada alatan komunikasi RMPNet, kamera papan pemuka dan perakam video digital mudah alih di dalam MPV berkenaan juga diharap dapat meningkatkan integriti serta kecekapan anggota dalam melaksanakan penugasan.
“Tugas anggota amat mencabar termasuk berdepan dengan tohmahan masyarakat dalam sesuatu hal yang membabitkan isu integriti dan salah laku.
“Sebelum ini, hanya ada kamera badan tetapi kini kamera MPV berupaya merakam dan merekodkan segala kejadian sebagai bahan bukti yang boleh membantu siasatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan setiap anggota PDRM,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PDRM juga akan menerima penambahan lebih banyak MPV meliputi 170 model Proton X70 1.8 bagi tujuan penggantian kenderaan sedia ada bermula Julai sehingga September ini.
“PDRM dalam peringkat pembuktian konsep (POC) bagi menguji dan memastikan Proton X70 sesuai digunakan untuk penugasan kepolisan melibatkan pelbagai aspek termasuk pemanduan defensif.
“Kesemua MPV ini akan diagihkan ke setiap kontinjen dan daerah berdasarkan keperluan di kawasan masing-masing seperti di kawasan pedalaman tidak diberikan kereta Honda Civic ini kerana akan memperoleh MPV jenis berlainan pada masa depan yang difikirkan lebih bersesuaian,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!