Lebih ramai tokoh wanita diberi jawatan jika BN, sekutu menang
TAWAU - Lebih ramai tokoh wanita di Sabah wajar diberikan jawatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik jika Barisan Nasional (BN) dan sekutunya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini serta membentuk kerajaan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan wanita di Sabah.
"Tentunya saya berasa kecewa (wanita kurang dicalonkan) namun ada beberapa jawatan lantikan boleh diberikan kepada tokoh wanita," katanya pada majlis bersama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu dan Kukusan serta bertemu jentera di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banyan, Taman King Fook di sini malam tadi.
Beliau berkata, isu jawatan lantikan itu juga akan dirunding bersama rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah termasuk Pas.
Katanya, yang penting, jentera perlu mendekati para pengundi untuk meraih undi dan calon BN tidak perlu gentar berdepan saingan banyak penjuru.
PRN Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 43 calon wanita ditampilkan untuk bertanding termasuk dua daripada UMNO, seorang daripada MCA, dua daripada Perikatan Nasional dan seorang daripada Parti Bersatu Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!