Jamawi sedia hadapi cabaran tanding kawasan baharu

Jamawi Jaafar
Jamawi Jaafar
A
A
A

TENOM - Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Jamawi Jaafar mengakui berdepan dengan pelbagai cabaran untuk bertanding di kawasan baru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Jamawi yang sebelum ini bertanding di kawasan DUN Kemabong mengakui meskipun berdepan pelbagai cabaran, namun ia bukan menjadi halangan untuk dirinya memenangi hati rakyat di kawasan itu.

“Secara peribadi saya akui memang banyak cabaran untuk bertanding di sini, namun itu bukan halangan kerana kawasan ini bukan asing bagi saya kerana saya sebenarnya dilahirkan dan dibesarkan di sini iaitu di Kampung Jawa Sumbiling yang terletak di DUN Melalap.

“Ketika saya memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Tenom, saya selalu juga turun padang membawa pelbagai program Pemuda UMNO ketika itu dan ramai juga saudara-mara dan kenalan di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima kunjungan hormat dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata Tenom di pejabat perhubungan beliau di pekan Tenom hari ini.

Jamawi (tengah) semasa menerima kunjungan hormat dari PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata Tenom di pejabat perhubungan beliau di pekan Tenom hari ini.
Jamawi (tengah) semasa menerima kunjungan hormat dari PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chinta Mata Tenom di pejabat perhubungan beliau di pekan Tenom hari ini.

Katanya, dalam tempoh singkat bagi menghadapi PRN kali ini, pihaknya terpaksa menyusun jentera dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain mengadakan kempen dari rumah ke rumah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Mengulas lanjut sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan itu, Jamawi berkata, beliau akan memberi fokus dan komitmen bagi meneruskan kesinambungan pembangunan fizikal khususnya infra rakyat dan infra sosial.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, beliau akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta akan merancakkan lagi pembangunan modal insan.

“Begitu juga dari segi pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran untuk golongan belia membangunkan sektor pertanian dan pelancongan di samping pembangunan sahsiah.

“Saya pasti semua ini akan dapat dilakukan dengan adanya sokongan padu dari rakyat untuk memilih kerajaan yang mempunyai hubungan dan kerjasama dengan kerajaan pusat memandangkan faktor keluasan Sabah yang luas selain memerlukan peruntukan besar untuk pembangunan,” katanya.

Katanya, apa yang pernah dilaksanakan di DUN Kemabong sebelum ini akan menjadi acuan untuk dirinya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebaik dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan baru di DUN Melalap selepas 26 September nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!