Tiada rekod harga makanan sekolah asrama naik

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Rekod bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak menunjukkan harga makanan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dikurangkan dari RM 18 kepada RM 14.50 seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Zul Fikri Zamie berkata, harga makanan SBP adalah berdasarkan menu yang diputuskan mengikut keperluan nutrisi murid seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)

"Ini termasuk bagi bekalan makanan bermasak dan pengiraan harga kontrak termasuk mengambil kira bilangan murid dan lokasi sekolah.

"Maknanya, semakin ramai murid, semakin rendah harga ditetapkan atau semakin jauh sekolah dari kawasan bandar, makin tinggi harga ditetapkan," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.

Kelmarin, Najib yang juga bekas Perdana Menteri dilaporkan mendakwa kadar makanan sehari di SBP dikurangkan daripada RM18 kepada RM14.50 menerusi hantaran di akaun Twitter miliknya.

Zul Fikri ketika mengulas berhubung dakwaan tersebut berkata, penetapan harga kontrak juga berdasarkan kepada kontrak, yang dianugerahkan melalui tender terbuka dan dipersetujui antara kontraktor dengan kerajaan.

"Bagi tender yang baru dianugerahkan untuk tahun 2019, pelantikan kontraktor adalah melalui kaedah tender terbuka dan pemilihan kontraktor adalah berdasarkan kriteria-kriteria yang selaras dengan garis panduan, peraturan serta pekeliling berkaitan perolehan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa dakwaan Najib berhubung perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!