Gagasan yakin mampu jadi sebahagian pakatan bentuk kerajaan
PENAMPANG - [DIKEMASKINI] Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini untuk menjadi sebahagian pakatan dalam membentuk kerajaan.
Penasihat Gagasan, Datuk Francis Goh berkata, Gagasan mampu memenangi lebih 25 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadualkan berlangsung 26 September ini.
"Kita percaya boleh memenangi 25 kerusi ke atas dan boleh menjadi sebahagian untuk membentuk kerajaan menerusi pakatan. Sudah tentu keutamaan kami yang pertama adalah untuk membentuk kerajaan dengan parti tempatan.
"Kita lihat Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) tidak dikaitkan dengan parti dari Semenanjung," katanya kepada media selepas melancarkan manifesto Gagasan di sini hari ini.
Francis berkata, antara tiga parti berkenaan, hanya Gagasan sebagai parti paling asli tanpa sokongan atau kaitan dengan parti di Semenanjung.
Bagaimanapun, Francis berkata, pihaknya bersedia untuk membentuk kerjasama dengan kerajaan Persekutuan sekiranya ada keperluan sebagai langkah terakhir untuk menubuhkan kerajaan.
"Jika kita tiada pilihan, kita akan fikirkan untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat, maksud saya parti di Semenanjung.
"Tetapi kami harap perkara ini tidak terjadi sebab kami masih melihat terdapat banyak parti tempatan yang boleh memenangi beberapa kerusi dalam PRN ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!