Jari tersepit pada pintu kaca automatik
GEORGETOWN - Seorang pekerja kedai barangan kecantikan dan kesihatan berdepan detik cemas apabila dua jari tangan kirinya tersepit pada pintu kaca automatik premis perniagaan di Bukit Jambul di sini hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, PBK II (KUP) N Jayashakar berkata, ketika kejadian, mangsa berusia 23 tahun itu sedang mengemas barang di dalam premis berkenaan.
Menurutnya, ketika leka melakukan kerjanya, jari telunjuk dan jari tengah tangan kiri mangsa tersepit pada pintu kaca automatik di laluan utama premis tersebut.
"Kita menerima panggilan pada jam 1.10 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian. Mangsa merupakan seorang wanita iaitu salah seorang pekerja di premis tersebut.
"Kita menjalankan kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan 'rescue tools' untuk mengeluarkan jari yang tersepit. Mangsa berjaya diselamatkan pada jam 1.42 petang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Jayashakar berkata, mangsa yang mengalami kecederaan pada kedua-dua jari itu diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, operasi menyelamat tamat pada jam 2.18 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!