Mapim bidas IPC jadi alat Israel
SHAH ALAM - Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dilihat menjadi alat kepada Israel apabila bertindak membatalkan hak Malaysia selaku penganjur kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu menunjukkan IPC telah berkompromi dengan penjenayah perang dan menafikan hak negara berdaulat dan keadilan untuk rakyat Palestin.
"Sikap tegas Malaysia adalah suatu mesej penting kepada seluruh dunia. Seluruh komuniti antarabangsa perlu menyokong prinsip menolak Israel sebagai negara yang sah.
"Kami juga mendesak semua negara OIC dan PBB hendaklah bersatu memberi tekanan kepada Israel. Sikap berdegil malah keras kepala Israel mesti ditentang habis-habisan.
“Apa hak IPC mempersoalkan sikap Malaysia dan membuat keputusan pro-Israel?," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Presiden IPC, Andrew Parsons mengumumkan tentang pembatalan hak Malaysia untuk mengendalikan kejohanan tersebut kerana atas alasan ia berlangsung secara terbuka buat semua negara dan atlet tanpa sebarang diskriminasi.
Baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan untuk tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini serta menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung 29 Julai hingga 4 Ogos depan.
Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai 'anti-Semitisme melampau'.
Mohd. Azmi ketika mengulas mengenai perkara berkata, tindakan Malaysia yang berdiri teguh dan tidak berganjak daripada keputusan menghalang peserta Israel masuk ke negara ini adalah keputusan berprinsip dan bermoral.
"Kami berpendirian bahawa keputusan Malaysia adalah hak negara yang berdaulat untuk menetapkan siapa yang boleh masuk ke dalam negara atau tidak," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Malaysia memainkan peranan sebagai negara yang menunjukkan sikap yang konsisten mengenai isu Palestin.
"Sudah sampai masanya Malaysia meneliti dasarnya terhadap Israel dalam pelbagai aspek seperti ekonomi dan perdagangan, sosial , budaya, sukan, akademik.
"Sikap Malaysia perlu menjadi petunjuk penting kepada dunia bahawa polisi terhadap Israel mesti berprinsip keadilan untuk rakyat Palestin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!