Kategori B40 akan diperincikan mulai 2021

Mustapa
Mustapa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membahagikan kumpulan isi rumah B40 kepada beberapa kategori mulai 2021 dengan lebih tumpuan diberikan kepada mereka yang berada di bawah kategori B1, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini terdapat kira-kira 2.91 juta keluarga di Malaysia dalam kategori B40 dengan pendapatan RM4,850 ke bawah.

Beliau berkata, selepas diperincikan, lebih tumpuan dan bantuan kerajaan akan dapat disalurkan.

“Program kerajaan akan ditumpukan kepada kumpulan ini (B1), mereka yang paling layak menerima bantuan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kumpulan isi rumah B40, M40 dan T20 boleh diperincikan kepada 10 kategori berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019.

Katanya, B40 boleh diperincikan kepada B1, B2, B3 dan B4; M40 kepada M1, M2, M3 dan M4 manakala T20 kepada T1 dan T2.

Mustapa berkata, kerajaan akan meneruskan usahanya untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah B40 terutamanya isi rumah miskin dan berpendapatan rendah.

Katanya, ini akan dilakukan melalui pendekatan termasuk menyediakan program peningkatan pendapatan dan keupayaan untuk mendapat pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan serta menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan.

“Kerajaan akan meneruskan libat urus dengan pemegang taruh untuk mengguna pakai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dalam perancangan dan penggubalan dasar, strategi dan inisiatif ke arah pembasmian kemiskinan yang lebih komprehensif dan berkesan bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-12 sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!