Khalid Jamlus jual trofi
AWANG rasa sebak baca kisah mantan pemain bola sepak Selangor dan Malaysia, Khalid Jamlus. Awang dah dengar berita beliau mahu menjual trofi Kasut Emas yang dimenanginya disebabkan beliau menghadapi masalah kewangan. Syukurlah trofi itu dibeli oleh Tuanku Sultan Selangor yang prihatin.
Trofi itu dimenanginya sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Satu pada tahun 2002. Beliau pernah bersama pasukan Selangor pada musim 2005 dan 2006.
Awang rasa sedih hal seperti ini boleh berlaku pada ahli sukan kita. Mereka terpaksa berbuat demikian untuk menampung hidup. Tentulah ada masalah kewangan serius yang menyebabkan mereka berbuat demikian.
Kes Khalid bukanlah baharu. Ada ahli sukan kita lain yang menghadapi masalah yang lebih menyedihkan. Mereka pernah wakili negara dan negeri tetapi akhirnya hidup susah di penghujung hayat.
Awang nak angkat tabik pada usaha Datin Seri Rosmah Mansor (Kak Mah) yang pernah jadi penaung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). Yakeb dulu bukan main aktif lagi. Oleh sebab Kak Mah penaungnya, banyaklah sokongan pelbagai pihak. Manfaatnya melimpah pada para atlet juga.
Tapi semenjak Kak Mah tak ada, Yakeb tak sekuat dulu lagi. Banyaklah kita dengar rungutan atlet yang memerlukan bantuan. Awang harap Yakeb diperkasakan semula demi kebajikan ahli sukan kita walaupun tanpa Kak Mah.
Tidaklah nanti orang macam Khalid terpaksa menjual trofi kesayangan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!