Mowgli Malaysia, ikatan kasih manusia dan haiwan
MERAK Jalanan bersimpati dengan Muhammad Syukur Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ apabila lebih 40 daripada 110 ekor kerbau miliknya mati secara tiba-tiba di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu sejak minggu lalu.
Syukur dan bapanya, Pak Khamis pasti amat bersedih sekarang. Walaupun keluarga Pak Khamis sudah membela kerbau sejak 50 tahun lalu, namun haiwan itu bukan sekadar ternakan.
Boleh dikatakan satu dunia kenal Mowgli Malaysia ini.
Aksi fotogenik remaja berusia 15 tahun itu bersama sekawan kerbau yang dirakam seorang jurugambar profesional telah memenangi anugerah Asia Geographic pada tahun 2018.
Tak sangka Malaysia juga ada Mowgli, watak dongeng dalam filem animasi The Jungle Book. Kisah berlatarbelakangkan negara India itu memaparkan seorang budak yang sangat akrab dengan haiwan.
Di Malaysia, Syukur dianggap sebagai Mowgli kerana keakrabannya dengan haiwan.
Melihat gambar-gambar yang dirakam sebelum ini, Merak Jalanan dapat rasakan betapa mendalamnya hubungan Syukur dengan haiwan seperti kerbau, lembu dan kambing.
Merak Jalanan biasa melihat kanak-kanak baik kerbau yang jinak. Tapi tak pernah pula berjumpa seorang budak boleh berkawan dengan 100 ekor kerbau serentak. Malah, dia dan haiwan itu boleh bergurau seperti ‘kawan sekolah’!
Dengan latar belakang tersebut, tentulah kematian tiba-tiba sejumlah kerbau itu amat terkesan bagi Syukur. Namun, Syukur bersyukur kerana kerbau kesayangannya, Tongkol, Baba, Semek dan Along masih tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit hawar.
Merak Jalanan percaya kesedihan Syukur bukanlah disebabkan nilai RM200,000 yang hilang susulan kerbau tersebut mati. Sebaliknya, ia adalah mengenai pertalian kasih antara manusia dan haiwan yang begitu erat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!