Jiwai semangat berkongsi negara
SEJAK 10 tahun lalu, tarikh 16 September diiktiraf sebagai cuti umum peringkat nasional untuk memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia.
Walaupun tarikh bersejarah itu seolah-olah mendapat pengiktirafan hanya selepas 47 tahun penggabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, kira-kira 32 juta rakyat Malaysia menganggapnya hari terpenting dalam perkongsian sebuah negara.
Cuti umum yang bermula sejak 2010 itu juga pengiktirafan signifikan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Sebelumnya, tiada negeri yang mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum kecuali Sabah, itu pun sempena hari keputeraan Yang di-Pertua Negeri.
Tahun ini, Sibu mengambil alih selaku penganjur sambutan Hari Malaysia, yang lokasinya silih berganti antara di Sarawak dan Sabah.
Hari Malaysia ini muncul kira-kira dua minggu selepas sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu. Jika kita meraikan Hari Kemerdekaan sebagai simbolik kebebasan dan kebanggaan, maka Hari Malaysia pula adalah untuk perpaduan dalam kepelbagaian.
Hari Malaysia adalah masa apabila masyarakat Melayu, Cina dan India daripada 11 buah negeri di Tanah Melayu bersetuju untuk bersatu dengan orang Kadazandusun, Iban, Bidayuh, Bajau, Murut, Melanau dan etnik lain di Sabah dan Sarawak.
Rakyat negara ini perlu meraikan sambutan Hari Malaysia supaya kita sentiasa mengingati sejarah bagaimana Malaysia dilahirkan.
Persekutuan Malaysia terbentuk hasil pungutan suara Suruhanjaya Cobbold dari Februari hingga April 1962, menyaksikan 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju mengenai cadangan pembentukan Malaysia.
Kini, selepas 57 tahun, masih kedengaran suara kecil yang merasakan mereka dipinggirkan terutama dalam soal pembangunan.
Lebih membimbangkan, sentimen kenegerian terus dimainkan termasuk menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September ini.
Justeru, konsep Persekutuan yang menjadi tunjang negara ini penting untuk difahami semua pihak agar tidak timbul isu negara dalam negara dan pemahaman sempit sehingga akhirnya mengancam tanah air kita. Selamat menyambut Hari Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!