'Tidak mahu isu Ketua Menteri jadi keutamaan ketika ini'
PUTATAN - Barisan Nasional (BN) mahu mendapatkan jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan sebelum membincangkan soal siapa Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerana itu pihaknya tidak mahu isu Ketua Menteri menjadi keutamaan pada ketika ini namun mahu memperoleh majoriti mudah bagi tujuan penubuhan kerajaan baru.
"Saya tidak mahu isu siapa Ketua Menteri jika gabungan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang diperbesarkan. Tetapi kita perlu dapatkan dulu jumlah kerusi yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.
“Secara amnya apabila kita berjaya mendapat 37 kerusi baharu maka layaklah kita membentuk kerajaan, jangan terlalu yakin kerana rakyat melihat, kalau terlalu yakin rakyat sememangnya tidak suka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama Pemimpin di Kampung Pasir Putih disini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, rakyat Sabah akan mendapat Ketua Menteri yang terbaik jika BN,PN dan PBS menang pada PRN kali ini.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; calon BN Tanjung Keramat, Shahelmy Yahya dan calon PN Petagas, Datuk Arsit Sedi.
Terdahulu, ketika berucap, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak bercakap soal siapa calon Ketua Menteri sehingga gabungan BN, PN dan PBS menang pada PRN.
"Kita bagi menang dulu sekurang-kurangnya 37 kerusi. Selepas itu kita runding di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masa itulah kita lantik siapa Ketua Menteri.
"Parti yang dapat banyak kerusi maka itulah yang paling layak jadi Ketua Menteri," katanya.
Beberapa hari lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ada membayangkan siapa Ketua Menteri jika parti itu diberi mandat menjawat jawatan berkenaan.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor adalah nama yang disebut sebagai bakal Ketua Menteri dari parti itu jika dipersetujui rakan parti lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!