Simpanan Al-Awfar melebihi sasaran
AKAUN Al-Awfar Bank Islam Malaysia Berhad berjaya mencatatkan saiz dana simpanan sebanyak RM1.1 bilion setakat ini berbanding dana sebanyak RM732 juta yang disasarkan bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, peningkatan jumlah akaun juga menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu berjumlah 924,615 setakat 9 September 2020 berbanding RM2.93 bilion pada Januari lalu.
Justeru, pihaknya meletakkan sasaran peningkatan saiz dana berjumlah RM913 juta bagi tahun 2021.
“Peningkatan memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap produk Al-Awfar. Kami sentiasa berinovasi dan berusaha untuk memastikan Al-Awfar kekal relevan.
“Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar ini, kita perlu mempunyai kesedaran untuk menyimpan dengan berhemah serta membuat pelaburan yang bijak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Al-Awfar di sini semalam.
Katanya, sejak lebih 10 tahun di pasaran, Al-Awfar merekodkan saiz dana berjumlah hampir RM4 bilion.
Katanya, penambahbaikan dibuat bagi produk Al-Awfar apabila kini menawarkan peluang kepada lebih 10,000 pemenang dengan 31 pemenang setiap negeri pada setiap bulan dengan hadiah bernilai lebih RM15 juta setahun.
“Al-Awfar adalah sejenis akaun yang fungsi asasnya sebagai akaun simpanan untuk tujuan perbankan lain.
“Namun ia memberi nilai tambah dan ibarat serampang dua mata kepada pemegang akaun kerana berpeluang memenangi hadiah ditawarkan menerusi cabutan khas.
“Saya menyeru kepada orang ramai untuk membuka akaun Al-Awfar, sekurang-kurangnya akaun gaji untuk merebut peluang ini,” katanya.
Terdahulu beliau menyampaikan hadiah wang tunai RM1 juta bagi kategori Cabutan Jutawan dan lima unit kereta terdiri daripada sebuah Mercedes C200 Avantgarde dan empat Mazda CX-5.
Dua pelanggan terpilih dari Kedah telah diumumkan sebagai Jutawan Al-Awfar iaitu Abdul Hamid Abdullah dari Sungai Petani dan Mohamad Hasan Mohamed Rawther dari Baling.
Namun kedua-dua mereka tidak dapat hadir disebabkan peningkatan kes Covid-19 di Kedah.
Kedua-dua mereka menerima hadiah wang tunai RM1 juta seorang dan masing-masing telah diwakili untuk menerima hadiah berkenaan pada majlis tersebut.
Sementara seorang suri rumah yang baru dua bulan menyimpan dalam akaun Al-Awfar, terpilih sebagai salah seorang daripada empat pemenang kereta Mazda CX-5 sempena Cabutan Khas Al-Awfar oleh Bank Islam Malaysia Berhad.
Norliza Abd Ghani, 49, berkata, dia tidak menyangka terpilih kerana terlalu baru membuka akaun itu.
Bahkan katanya, ketika menerima panggilan khabar kemenangan itu, dia mengambil masa untuk mempercayainya kerana bimbang menjadi mangsa scam.
“Pihak Mazda yang hubungi saya, saya tak percaya namun apabila membuat semakan dengan Bank Islam barulah saya yakin,” katanya.
Selain Norliza, tiga lagi pemenang kereta Mazda CX-5 ialah Amirahman Abas, Azmi Ismail dan Hashimah Ismail.
Sementara itu, pemenang utama Cabutan Khas Al-Awfar Jun 2020, Erwan Feisal Tolos, 39, dari Banting yang memenangi Mercedes Benz C200 Avantgrade turut berkongsi keterujaan.
Simpanan yang telah dibuat sejak lebih 10 tahun lalu ini adalah kemenangan terbesar yang pernah diperolehi.
“Sudah lama saya simpan dalam Al-Awfar, pada awalnya tidak banyak tapi saya tambah dari tahun ke tahun.
“Ketika dapat tahu menang, agak susah untuk saya percaya. Tapi rezeki tak salah alamat. Saya bersyukur dengan kemenangan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!