BN harap 41 calon bertanding peroleh majoriti tinggi: Ahmad Zahid
PUTATAN - Barisan Nasional (BN) berazam dan berharap semua 41 calon yang mewakili BN mampu memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun menghadapi pelbagai cabaran untuk memperjuangkan hak rakyat namun itu bukan menjadi penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita tahu calon-calon BN merupakan calon yang ‘underdog’ dan kita juga sedar bahawa kita bergerak tanpa dana, tanpa kemudahan kerana kita bukan sebuah kerajaan tetapi hanya sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kita juga sedar bahawa semua kelemahan-kelemahan yang ada di pelbagai aspek tidak akan menyebabkan kita lemah semangat untuk berjuang sebaliknya ia akan menjadikan kita kuat bersemangat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama Pemimpin di Kampung Pasir Putih di sini, semalam.
Katanya, semua cabaran yang dihadapi akan dianggap sebagai satu ujian untuk berdepan dengan dugaan khususnya bagi ‘memenangi’ hati rakyat menjelang PRN Sabah kali ini.
“Bagaimanapun kita terima hakikat bahawa kita tidak akan berjaya 100 peratus jika tidak mendapat sokongan rakyat secara keseluruhannya.
“Kami yakin bahawa kerinduan yang mendalam di kalangan pengundi-pengundi BN sangat besar dan kita (BN) khususnya di Sabah tidak akan pernah mengecewakan rakyat Sabah. Saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita,”katanya.
Terdahulu pada PRN kali ini, BN menampilkan calon baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dalam Parlimen Putatan iaitu Ir Shahelmey Yahya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!