Pas beri jaminan bantu calon GRS
PUTATAN - Pas memberi jaminan bahawa parti itu akan memberi sokongan sepenuhnya kepada semua calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya juga akan menggerakkan seluruh jentera parti bagi membantu calon-calon yang ditampilkan oleh gabungan berkenaan.
“Pada PRN Sabah kali ini, saya nak beri jaminan bahawa seluruh pengundi dan penyokong PAS akan memberi undi kepada calon BN (Barisan Nasional) dan calon PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) serta semua blok yang mewakili kita semua.
“Jaminan ini adalah sebagai satu pengesahan bahawa inilah sikap yang diambil oleh parti dalam PRN kali ini,” katanya ketika berucap dalam Program Ramah Mesra bersama Pemimpin di Kampung Pasir Putih di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin kekuatan yang dihasilkan melalui gabungan itu di Sabah mampu mengikut jejak langkah kerajaan PN di peringkat Pusat.
“Pada malam (semalam) ini juga kami (Pas) dari seluruh Sabah datang ke KK (Kota Kinabalu) bertemu dengan petugas parti dan menyampaikan arahan bahawa seluruh petugas hendaklah turut membantu calon kita yang bertanding.
“Sebab dalam situasi pertembungan yang sangat kritikal ada satu kawasan sampai enam sampai tujuh calon. Bilangan 100 hingga 200 undi, jumlah berapa sekali pun sangat penting. Sebab itu kita perlu muafakat dan ini perlu didokong bersama kembali agenda perubahan yang besar,” katanya.
Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, meskipun tidak bertanding, pihaknya mahu petugas parti membantu kesemua calon dalam GRS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!