Redah tanah merah sejauh 18km jumpa pengundi
PAPAR- Calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun Datuk Johnny Mositun, 63, meredah jalan tanah merah dan jalan tidak berturap dengan kenderaan pacuan empat roda sejauh 18 kilometer (km) dari jalan utama hanya untuk bertemu dengan penduduk Kampung Mondikot, Kaiduan.
Panorama alam semula jadi dan Sungai Kaiduan yang jernih menemaninya sepanjang perjalanan selama 40 minit itu.
Lengkap berkemeja putih tertera logo parti PBS, parti disertainya sejak 1985 itu, Mositun terus bersemangat bertemu dan beramah mesra bersama penduduk setempat, selain turut menyampaikan ceramah mengenai aspirasi beliau sebagai calon sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau.
Limbahau adalah satu daripada 13 kerusi DUN baharu ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Tiada paluan gong mahupun acara keramaian, pendekatan kempen Mositun sangat sederhana, namun senyuman dan sapaan mesra naib presiden PBS itu memperlihatkan beliau seperti tidak asing lagi bagi penduduk kampung di situ.
Hasrat besar anak jati Papar, yang juga bekas Timbalan Speaker DUN Sabah, untuk memajukan Limbahau demi kesejahteraan rakyat di kawasan itu disuarakan dalam platform kempen di sebuah ruang hanya dibina menggunakan buluh sebagai dinding, berlantaikan tanah dan beratapkan zink.
"Saya ke kawasan ini bukan hanya pada musim berkempen, tetapi sejak 2016. Masih banyak pembangunan perlu dilakukan di sini termasuk membina jalan raya berturap yang sangat diperlukan oleh penduduk kampung selain kemudahan asas lain seperti jambatan gantung. Kawasan ini harus dimajukan," katanya berucap pada program bertemu rakyat itu.
Seorang penduduk Kampung Moloyuon yang ditemui Bernama pada program itu, Welvin Jamani, 30, berkata, Mositun sememangnya dikenali oleh penduduk Kampung Kaiduan dan kawasan sekitarnya kerana beliau sering turun padang bertemu rakyat meskipun bukan musim berkempen.
"Sebelum pilihan raya ini juga dia (Mositun) sudah selalu masuk (kampung) memberi sumbangan kepada penduduk termasuk membina jambatan gantung," katanya yang turut berharap calon yang menang kelak dapat memberi perhatian untuk membina infrastruktur jalan raya berturap yang amat diperlukan oleh penduduk di kawasan tersebut.
Seorang lagi penduduk kampung Mismah Kukundu, 52, dari Kampung Torintid Bolotikon pula melihat Mositun sebagai seorang pemimpin yang sangat mesra, prihatin dan memahami keperluan penduduk apabila beliau sentiasa berusaha untuk memenuhi setiap permintaan mereka.
"Dari dulu dia selalu masuk di sini...Apa-apa aktiviti penduduk seperti keramaian, majlis kahwin dia akan datang, apatah lagi kalau masa kesusahan, dia selalu datang. Dia akan beri bantuan setiap kali kami memerlukan," katanya.
Selepas berkempen di kampung itu, Mositun kemudian meneruskan program kempennya ke Kampung Dambai pula di DUN yang sama.
Mositun akan bersaing dengan tujuh pencabar lain dalam pertandingan lapan penjuru bagi merebut kerusi DUN Limbahau, yang mempunyai seramai 12,739 pengundi, pada PRN Sabah, 26 September ini.
Tujuh pencabar itu membabitkan calon Datuk Juil Nuatim daripada Warisan, Cornelius Frederick @ Michael Fj Sulip (LDP); Susanna Jainim Jaris (USNO), Aubrey G Sham (PCS); Evelyn June Charlie (GAGASAN) serta dua calon Bebas iaitu Pius Lokiom dan Luarence Onjuman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!