Agong zahir ucapan Selamat Ulang Tahun ATM ke-87

Al-Sultan Abdullah - Foto fail Bernama
Al-Sultan Abdullah - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-87 kepada seluruh warga angkatan tentera termasuk veteran serta semua yang pernah berkhidmat dengan ATM.

Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota ATM, khususnya yang bertugas di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membantu kerajaan membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sejak awal tahun ini.

"Selaku pemerintah tertinggi ATM, Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas jasa, khidmat bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota ATM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara yang kita cintai bersama ini.

"Semoga ATM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa," titah Seri Paduka melalui hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook Istana Negara hari ini.

Hari ATM disambut pada 16 September setiap tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!