BN Sabah yakin Aku Janji mampu yakinkan rakyat
KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) Sabah yakin manifesto atau 'Aku Janji' yang akan dilancarkan petang ini mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk BN dan rakan dalam Perikatan Nasional (PN) mentadbir kerajaan baharu.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Aku Janji yang dirangka itu mampu ditunaikan dan telah dirangka lebih awal agar ia seimbang dengan kehendak rakyat negeri ini.
“Jika anda mahu dengar apa inti pati Aku Janji itu, petang ini saya akan bentangkan bersama rakan dalam PN.
“Selain itu saya juga berkeyakinan sebab Aku Janji ini telah dirangka lebih awal dan sudah tentu ia akan dapat ditunaikan. Kita tidak mahu ia menjadi bahan ketawa rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin di Dewan BTC di sini, hari ini.
Hadir sama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan dan calon BN DUN Darau, Datuk Jumat Idris.
Bung yang juga calon BN DUN Lamag berkata, pihaknya yakin Aku Janji yang dibentangkan itu nanti akan dapat ditunaikan dan tidak mahu rakyat menghukum jika tidak dilaksanakan dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, Bung berkata, kerjasama yang dijalinkan antara BN dan PN sehingga kini dilihat sangat baik khususnya di kawasannya apabila beberapa pemimpin daripada parti rakan lain turut bersama beliau berkempen.
“Syukur, sehingga kini kerjasama antara rakan lain baik dan mereka berkongsi pentas bersama kita namun saya juga mendengar ada pemimpin lain masih enggan membantu kita.
“Namun saya yakin mereka masih dalam tempoh bertenang kerana ada kerusi yang UMNO tandingi, pihak rakan lain khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ingin bertanding. Tapi apa yang penting tiada unsur-unsur sabotaj,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!