Wujud rancangan besar pecah belah undi Warisan Plus
SEMPORNA - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin terdapat rancangan besar bagi memecahbelahkan undi dalam usaha memastikan Warisan Plus tumbang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhir bulan ini.
Ketua Menteri Sabah itu berkata, perkara ini terbukti apabila begitu banyak parti dan calon menawarkan diri untuk bertanding termasuk kemunculan semula beberapa ahli politik veteran.
Menurutnya, meskipun kehadiran gabungan parti melaungkan solidariti namun sudah pasti mempunyai hasrat dan cita-cita tertentu tanpa terikat dengan mana-mana parti.
Walaupun menyatakan wujud kesepakatan, namun ia jelas tidak kelihatan apabila berlaku pertembungan antara sekutu merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam gabungan tersebut.
“Saya percaya rakyat bukan mudah untuk diperbodohkan dengan pendekatan ini dan yakin tujuan pembangkang hanya untuk memecahbelahkan sokongan terhadap Warisan dan sekutunya seperti PKR, DAP dan Amanah,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di kediamannya, di sini, baru-baru ini.
PRN Sabah kali ini melakar sejarah tersendiri apabila menampilkan 447 calon termasuk 43 wanita daripada 15 parti termasuk calon Bebas di 73 kerusi DUN berbanding 349 calon bertanding bagi keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Antara ahli politik veteran kembali semula kepada perjuangan parti ialah bekas ketua menteri Tan Sri Chong Kah Kiat daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) di kerusi DUN Inanam dan bekas ketua menteri dan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi DUN Usukan.
BN, rakan sekutunya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan bertembung di 17 kawasan DUN, antaranya di Bengkoka, Matunggong, Tandek, Kadamaian, Tanjung Aru, Sook, Telupid dan Karamunting.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata ada di antara calon juga yang dikenali beliau termasuk anggota keluarga sendiri, yang masih bergantung kepada bantuan yang selalu diberikan, sedangkan mereka sedar tidak berupaya untuk membentuk kerajaan.
“Mereka mungkin ambil ruang dan kesempatan ini setelah ada orang-orang tertentu yang menaja mereka, menghasut mereka untuk mencemarkan sistem yang ada, maknanya kawasan-kawasan ini walaupun mereka tahu kemungkinan besar mereka tidak boleh memenangi pilihan raya.
“Saya yakin di sebalik takbir mereka ini diberi dorongan dan juga imbuhan kewangan untuk menawarkan diri sebagai calon supaya jangan ada kawasan yang tanpa bertanding,” katanya.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tiada langsung pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya kali ini dengan paling sedikit pertandingan tiga penjuru dan paling banyak 11 penjuru.
Pertandingan lima penjuru, enam penjuru dan tujuh penjuru merupakan kelompok yang paling banyak.
Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata ia bukanlah satu cabaran yang amat berat memandangkan beliau yakin rakyat di negeri ini mampu mengenali dan mengetahui pilihan terbaik yang akan memegang tampuk pemerintahan Negeri di Bawah Bayu itu.
Katanya PRN kali ini sebenarnya berkisar kepada keinginan rakyat untuk sebuah parti tempatan yang mampu memperjuangkan hak mereka, bukannya parti luar yang dianggap akan memberikan banyak kongkongan dan tekanan.
“Tapi kebimbangan mereka setiap parti berasaskan bukan dari Sabah akan banyak kongkongan, banyak tekanan sehingga nak minta jadi calon dan kerusi pun susah. Tapi mereka laungkan ada autonomi, tapi hakikatnya tiada autonomi.
Apa yang jelas ketika ini juga, kata Mohd Shafie, Bersatu dan UMNO misalnya masih bergelut dalam memutuskan siapa bakal ketua menteri sekiranya parti itu menang, selain jumlah kerusi UMNO yang jauh lebih besar daripada Bersatu.
UMNO meletakkan 32 calon manakala Bersatu 19 calon pada PRN Sabah, 26 September ini
“Kita sedar dan tahu bahawa UMNO jumlah (kerusi) dia besar dari Bersatu, bertanding pada kali ini mana mungkin Bersatu itu boleh jadi ketua sedangkan UMNO juga miliki jumlah kerusi besar,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!