Sukarelawan polis dirempuh ketika sekatan
KLUANG- Seorang anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) cedera akibat dirempuh sebuah motosikal ketika melakukan sekatan jalan raya ( SJR) melalui Op Motosikal di Jalan Hashim di sini 11 malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, ketika kejadian seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang menunggang motosikal cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya tersebut.
"Dalam cubaan melarikan diri, motosikal tersebut telah melanggar seorang anggota Pasukan Sukarelawan Polis ( PVR) berusia 35 tahun yang terlibat di dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Kluang.
"Suspek turut terjatuh di atas jalan raya dan kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian. Namun berjaya ditangkap tidak lama kemudian. Suspek turut cedera di bahagian tangan kiri dan kanan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Abdul Razak, anggota Pasukan Sukarelawan Polis ( PVR) yang cedera dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom dilaporkan dalam keadaan stabil dan mendapatkan rawatan akibat kecederaan luka berjahit di bahagian kepala.
Kejadian langgar lari itu turut tular di media sosial sejak malam tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!