Musa mahu Shafie henti tabur fitnah

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mahu Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhenti menabur fitnah dan dendam terhadapnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Musa berkata, ini disebabkan beliau tidak bertanding di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN sekali gus bukan tentangan untuk Presiden Warisan itu membuat fitnah.

"Kita melihat banyak video dan papan iklan memaparkan wajah Shafie dengan cogan kata 'membina negara', 'marilah kita bersama membina satu negara, tanpa mengira bangsa dan agama' dan ‘perpaduan', tetapi ucapan kempennya dipenuhi dengan hentaman kepada saya.

"Saya memahami perlunya beliau membuat ucapan politik yang berapi-api sepanjang berkempen, namun adalah memalukan bagi seorang pemimpin negeri berulang kali menyebarkan pembohongan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang individu yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Musa yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga berkata, pihaknya sebelum ini turut memfailkan saman RM1 bilion terhadap Yayasan Sabah termasuk Shafie kerana memfitnah.

Katanya, pihaknya tidak mempunyai pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang kerana beliau tidak berhenti membuat pembohongan selain terus membuat cabaran terhadap dirinya.

"Saya berasa terpanggil membuat kenyataan ini untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama saya daripada tuduhan yang dilemparkan oleh beliau.

"Kebelakangan ini, beliau membuat pelbagai fitnah, termasuk menuduh saya meluluskan kontrak Yayasan Sabah kepada beberapa individu tertentu. Justeru, saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan fitnah ini adalah percubaan memburukkan reputasi saya dan sekadar memenuhi agenda jahat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Musa meminta agar Shafie memberi fokus kepada pencapaian yang ditawarkan kepada rakyat sepanjang pemerintahan sebelum ini.

"Apa yang sepatutnya menjadi agenda beliau ialah meningkatkan infrastruktur, ekonomi, menyediakan pekerjaan dan peluang perniagaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!