Pelajar bawa motosikal tanpa lesen, topi keledar

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah di salah sebuah sekolah di sini, hari ini.
Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pelajar sekolah di salah sebuah sekolah di sini, hari ini.
A
A
A

SERI MANJUNG - Sebanyak 18 saman dikeluarkan pihak polis terhadap pelajar sekolah dari tiga buah sekolah menengah di daerah ini dalam Op Didik awal pagi tadi melibatkan PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, tiga buah sekolah yang terlibat dalam Op Didik bermula jam 6.45 pagi itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, SMK Batu 10, Lekir dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Nan Hwa.

"Seramai 45 orang pelajar telah diperiksa pihak berkuasa melibatkan 32 buah kenderaan dan 18 saman berjaya dikeluarkan di mana 15 saman daripada polis manakala tiga lagi dari JPJ.

"Daripada 18 saman dikeluarkan 12 saman merupakan kesalahan tidak memakai topi keledar, lima saman tidak mempunyai lesen memandu dan satu saman tidak mempunyai cermin sisi," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Salah seorang pelajar ditahan kerana tidak memakai topi keledar.
Salah seorang pelajar ditahan kerana tidak memakai topi keledar.

Tambahnya, SMK Batu 10, Lekir mencatatkan jumlah saman dikeluarkan paling tinggi iaitu sebanyak sembilan saman melibatkan lapan kesalahan tidak memakai topi keledar dan satu kesalahan cermin sisi.

"Manakala di SMJK Nan Hwa tiga saman dikeluarkan oleh pihak polis dan tiga lagi saman oleh pihak JPJ melibatkan dua kesalahan tidak memakai topi keledar dan empat kesalahan tiada lesen memandu.

"Sementara itu, hanya tiga saman sahaja dikeluarkan di SMK Seri Manjung melibatkan dua kesalahan tidak memakai topi keledar dan satu kesalahan tidak mempunyai lesen memandu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Hanif, objektif pihaknya mengadakan Op Didik berkenaan adalah untuk memberikan kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai keselamatan mereka semasa pergi dan pulang dari sekolah.

"Kita mahu pelajar sekolah berdisplin serta menyedari kepentingan memakai topi keledar demi keselamatan diri dan orang lain selain mengikuti peraturan dan undang-undang ditetapkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!