MCW sambut baik usaha SPRM
SHAH ALAM - Inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyediakan pangkalan data pesalah rasuah di laman web mereka amat baik dan perlu berterusan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pangkalan data ini beroperasi sebagai satu rujukan masyarakat terutamanya dalam membantu orang awam dan organisasi melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian.
"Bagi MCW, kaedah ini menunjukkan sikap serius SPRM dalam memastikan rasuah diperangi habis-habisan bagi memastikan Malaysia bebas daripada rasuah.
"Pangkalan data ini perlu sentiasa dikemas kini supaya masyarakat dapat mengenali dan berhati-hati dengan pesalah rasuah.
"Malah ia adalah pengajaran penting kepada setiap individu untuk menjauhi rasuah yang sekarang ini adalah musuh nombor satu di Malaysia," katanya.
Katanya, kaedah yang dimulakan SPRM sejak tahun 2010 dahulu penting bagi menunjukkan SPRM tidak mengamalkan pilih kasih tanpa mengira batas politik atau ras.
"MCW menggalakkan seluruh lapisan masyarakat untuk sentiasa masuk ke pautan itu bagi mendapat maklumat yang terkini demi memerangi rasuah di negara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!