Kelantan sambut Hari Malaysia dengan penuh kesenian
KOTA BHARU - Sambutan Hari Malaysia di Kelantan disambut dengan penuh seni dan budaya dalam usaha menonjolkan kepelbagaian kaum di negeri itu.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Kelantan, Maimun Hussien berkata, sambutan julung kali diadakan itu disertai seramai 120 peserta yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Budaya di Kelantan sangat unik kerana asimilasi budaya yang tidak ada di tempat lain terutamanya perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India serta masyarakat Siam.
“Di sini, kita boleh lihat kaum Cina dan India makan budu dan banyak lagi, malah mereka lebih gemar di panggil ‘oghe kelate’ berbanding 'oghe' Cina atau India.
“Jadi sempena sambutan Hari Malaysia ini, kita gabungkan keunikan itu dan tonjolkan perpaduan yang sekian lama erat terjalin,” katanya kepada pemberita di Hotel Royal Guest House sempena Hari Malaysia hari ini.
Katanya, sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Dataran Sultan Ismail Petra di tengah bandar Kota Bharu itu diserikan dengan ikrar Rukun Negara, persembahan seni silat dan gerak tari silat ‘flashmob’.
Tambahnya, lebih meriah apabila kesemua peserta memakai baju mengikut kaum dengan bertanjak, bersarung batik serta bersemutar selain menyelit keris di pinggang serta bercapal.
“Sangat menarik apabila kesemua peserta diajar gerak tari silat meskipun ada di antara mereka yang tidak pandai tetapi sekurang-kurang mencuba mengikutinya,” katanya.
Beliau berkata, peserta terdiri daripada ahli MAH, Persatuan Pencinta Seni Busana Kelantan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Pusat Integrasi Kaum Kelantan (PEKA).
Sementara itu, wakil Persatuan Pencinta Seni Busana Kelantan, Anwar Muhammed berkata, tujuan utama sambutan itu adalah untuk menaikkan kembali identiti Melayu yang sudah semakin terhakis.
Katanya, atas kesedaran itu pihaknya cuba membangkitkan kembali semangat ini agar orang Melayu kenal budayanya.
“Alhamdulillah, sambutan hari ini begitu baik dan saya juga memperkenalkan seni silat pisau yang menggunakan pisau dikenali sebagai ajam.
“Seni silat pisau berasal dari Sumatera dan telah dikembangkan ke Tanah Melayu di Kelantan berabad lamanya. Tidak ramai yang tahu mengenai seni silat ini serta tidak ramai yang tahu cara menggunakan pisau.
Katanya, silat pisau ini sudah lama berkubur namun dihidupkan kembali selepas 28 tahun kemudian.
“Jadi hari ini, saya ambil kesempatan untuk perkenalkan kembali seni silat ini kepada generasi muda kerana tidak mahu warisan ini hilang ditelan zaman,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!