Hawar berdarah beri impak besar jika tidak dibendung
KUALA TERENGGANU – Kematian puluhan ekor kerbau diternak keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih sinonim dengan gelaran 'Mowgli Malaysia' yang dikaitkan dengan penyakit heamoragic septicaemia (HS) atau hawar berdarah memberi impak besar sekiranya tidak dibendung.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, sektor penternakan di negara ini juga berisiko mengalami kerugian jika wabak itu terus menyerang haiwan peliharaan yang tidak mendapat suntikan vaksin sewajarnya.
Menurutnya, mereka yang mengalami musibah itu wajar mendapat pembelaan dan dibantu kerana mengalami kerugian cukup besar.
“Saya hubungi Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyatakan harapan supaya penternak ini dibantu kerajaan.
“Saya juga minta penduduk setempat dapat sama-sama membantu setakat termampu terutama membina pagar di kawasan keliling kandang supaya ternakan yang masih hidup dapat diselamatkan dan tidak memasuki kawasan lain.
“Dalam keadaan begini, Pak Khamis amat memerlukan sokongan material dan moral. Kita juga akan bantu serba sedikit untuk biayai kos sewa jentolak untuk proses menanam bangkai haiwan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu melawat kandang kerbau peliharaan Muhammad Syukur sekeluarga di Kampung Baggol Katong di sini hari ini dan setakat hari ini kematian kerbau hampir mencecah 50 ekor.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lebih 36 ekor daripada 110 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia' mati dipercayai diserang penyakit heamoragic septicaemia (HS) atau hawar berdarah.
ARTIKEL BERKAITAN: 36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan
Kerbau Mowgli Malaysia mati kerana hawar berdarah
Lima lagi kerbau Syukur mati, kandang ditutup elak jangkitan wabak
Kerajaan sedia bantu keluarga Mowgli Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!