Jadikan Rukun Negara asas cara hidup, masa depan negara

Tan Sri Lee Lam Thye (empat, kiri), Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin (kanan), Ketua Perancangan Strategik Jabatan Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin (dua, kanan) selepas Siaran Khas Rukun Negara Hour di Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
Tan Sri Lee Lam Thye (empat, kiri), Ketua Penyiaran (TV dan Radio Bernama) Roslan Ariffin (kanan), Ketua Perancangan Strategik Jabatan Pengarang Bernama Nur-ul Afida Kamaludin (dua, kanan) selepas Siaran Khas Rukun Negara Hour di Wisma Bernama hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rukun Negara yang berfungsi sebagai falsafah negara, teras serta kunci kepada kejayaan perpaduan di negara ini perlu dihayati sebagai asas cara hidup rakyat dan membentuk masa depan Malaysia.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Rukun Negara merupakan agenda perpaduan negara dan adalah sangat penting bagi masyarakat mengamalkan Rukun Negara sebagai cara hidup masing-masing.

“Saya harap, tidak kira mana-mana parti politik yang menjadi pemerintah, Rukun Negara harus diberikan pendedahan lebih meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya selepas menjadi tetamu dalam siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ oleh Bernama TV dan Bernama Radio di sini semalam.

Lam Thye yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia berkata, Rukun Negara harus dijadikan pegangan hidup dan diberi pendedahan, terutamanya kepada generasi muda kerana mereka merupakan pelapis pucuk pimpinan negara.

Tegas Lam Thye, pendedahan Rukun Negara bergantung pada tiga faktor dikenali sebagai tiga 'P' iaitu pendidikan, penghayatan dan pengamalan.

Beliau turut mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya membuat kajian berhubung pendidikan Rukun Negara di sekolah.

“Kita tidak mahu melihat Rukun Negara (hanya) dihafal oleh murid dan pelajar tetapi tidak merasai (menghayati) isi dan maksud kelima-lima prinsip berkenaan.

“Sistem pendidikan Rukun Negara itu bagi saya patut menjadi silibus di sekolah... ia harus bermula di sekolah kerana sekolah merupakan satu tempat, saluran amat penting untuk memupuk perpaduan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penerbit dan pengarah terkenal Datuk Rosyam Nor yang turut menjadi tetamu dalam program itu, berharap kerajaan memikirkan satu penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri seni di negara ini.

Menurut Rosyam, sekiranya industri seni mempunyai R&D yang boleh mewujudkan rangka tindak untuk diguna pakai sebagai satu hala tuju, industri itu akan memberikan impak besar kepada negara dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan di Korea Selatan mereka membelanjakan beratus-ratus juta (wang) untuk membuat R&D, tetapi hasilnya pada hari ini mereka membuat (pulangan) berbilion-bilion.

“Saya rasa R&D untuk Malaysia ini juga kita bukan hanya memanggil orang industri, tetapi keseluruhan orang yang bijak pandai (pakar) dalam bidang masing-masing untuk kita bersama dapat melakukan satu blueprint (rangka tindak) yang hebat,” katanya.

Sehubungan itu, Rosyam berharap kerajaan tidak melihat industri seni sebagai picisan kerana industri itu memainkan peranan penting dalam segala bentuk kemajuan dalam negara termasuk ekonomi, budaya dan lain-lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!