Kegiatan judi laga ayam terbongkar

Polis menahan 19 lelaki yang leka berjudi laga ayam dan taisai di ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Kuala Langat hari ini.
Polis menahan 19 lelaki yang leka berjudi laga ayam dan taisai di ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Kuala Langat hari ini.
A
A
A

KUALA LANGAT - Kegiatan judi laga ayam yang menawarkan pertaruhan mencecah RM6,000 di ladang kelapa sawit di Sri Cheding, di sini terbongkar selepas diserbu polis hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, seramai 19 orang berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1.15 petang itu.

"Siasatan mendapati kegiatan itu didalangi seorang lelaki tempatan manakala 18 lagi termasuk sembilan warga Indonesia adalah pemain.

"Pelbagai peralatan perjudian termasuk empat pisau taji, 22 ekor ayam, dua ekor ayam mati dan wang tunai RM17,735 dirampas dalam serbuan itu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Polis merampas ayam yang digunakan untuk judi laga ayam di ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Kuala Langat hari ini.
Polis merampas ayam yang digunakan untuk judi laga ayam di ladang kelapa sawit di Sri Cheding, Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kegiatan judi laga ayam dan taisai yang telah beroperasi sejak dua hingga tiga bulan lalu dan dipercayai judi itu mula dimainkan seawal jam 11 pagi hingga jam 5 petang di setiap hari minggu dan cuti umum.

Katanya, kegiatan perjudian laga ayam ini dikesan membabitkan pertaruhan RM1,000 sehingga RM6,000 manakala judi taisai serendah RM5 sehingga RM100.

"Pemain yang datang ini juga kebanyakannya datang dari sekitar Jenjarom, Klang, Shah Alam dan Tanjong Malim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Binatang 1953, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!