Penangguhan Piala Thomas, Uber bukan alasan berehat
BARISAN pemain badminton negara dinasihatkan supaya kekal dalam keadaan bersedia biarpun perancangan musim ini terjejas berikutan penangguhan saingan Piala Thomas dan Uber 2020.
Legenda badminton perseorangan negara Rashid Sidek berkata, pemain perlu melihat dari sudut positif mengenai penangguhan kejohanan berprestij yang sepatutnya berlangsung pada 3 hingga 11 Oktober di Aarhus, Denmark.
Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 di Atlanta itu, penangguhan itu tidak wajar dijadikan alasan untuk pemain berehat seketika sebaliknya perlu mengambil kesempatan yang ada memperbaiki ruang kelemahan sekali gus meningkatkan prestasi.
“Mereka (pemain) kena sentiasa kekal positif untuk mempersiapkan diri menghadapi kejohanan mendatang walaupun ia lagi dua, tiga atau empat bulan.
“Persediaan itu penting dalam apa juga situasi sekali pun. Bukan negara kita sahaja terjejas, tetapi semua pasukan mengalami situasi yang sama,” katanya hari ini.
Semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataannya mengesahkan penangguhan pusingan akhir Piala Thomas dan Uber 2020 susulan penularan pandemik Covid-19.
Rashid menyifatkan keputusan BWF menangguhkan kejohanan itu sebagai satu tindakan yang tepat.
“Banyak negara sudah menarik diri dan kalau lihat dari faktor kesihatan pemain dan pegawai, ada yang masih bimbang serta takut dijangkiti Covid-19. Semua pihak perlu terima keputusan BWF ini,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama musuh tradisi dan juara 13 kali, Indonesia, selain Belanda dan England pada saingan Piala Thomas, sementara bagi saingan Piala Uber, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!