Tiga penyakit yang membinasakan
SETIAP hari pelbagai kejadian berlaku dalam dunia hari ini seperti pembunuhan, ketidakadilan, fitnah yang melata dan sebagainya. Berdasarkan pemerhatian saya, antara punca kepada semua itu adalah penyakit angkuh, tamak haloba dan hasad dengki yang menimpa umat manusia.
Keangkuhan akan menguasai diri seseorang apabila dirasai dirinya lebih hebat daripada orang lain. Ini sebagaimana keangkuhan yang ditunjukkan syaitan ketika ALLAH memerintahkannya sujud kepada Adam.
Dalam Surah al-A’raf ayat 12, ALLAH berfirman yang bermaksud: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku daripada api sedang dia Engkau jadikan daripada tanah.”Orang yang berharta berasa angkuh dengan kekayaan yang dimiliki. Keangkuhan tersebut membuatnya memandang rendah kepada mereka yang tidak berharta.
Begitu juga orang yang berilmu yang dianugerah ALLAH dengan kebijaksanaan akalnya berasa angkuh dengan kepintaran dan ilmu yang dimiliki. Mereka memandang hina kepada golongan yang tidak mempunyai kehebatan ilmu sepertinya sehingga sanggup memperlekeh orang lain.
Malah, pemimpin menjadi angkuh dengan kuasa yang ada pada tangannya. Keangkuhannya itu mendorong dia untuk berlaku tidak adil kepada rakyat dan melakukan kezaliman ke atas pihak yang tidak mempunyai kuasa.
Sementara penyakit tamak pula akan menguasai seseorang apabila dia ingin memiliki sesuatu tanpa batasan malah sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang ada. Orang yang tamak akan berusaha untuk mendapat apa sahaja yang diingini biar dengan cara yang salah sekalipun.
Penyakit tamak haloba apabila menguasai diri seseorang akan mendorongnya melakukan kerja-kerja yang hina seperti memberi rasuah, membolot harta, merampas, menipu, mengambil hak orang lain dan seumpamanya.
Apatah lagi jika dalam masa sama orang tersebut mempunyai kuasa di tangan. Sudah pasti akan digunakan kuasa yang ada untuk memenuhi kehendak tamak halobanya terhadap sesuatu.
Penyakit hasad dengki akan menguasai orang yang tidak senang hati melihat orang lain lebih daripadanya.
Mereka yang ada penyakit itu akan membuat fitnah, mengumpat, memaki dan sebagainya dengan tujuan menjatuhkan maruah dan seterusnya menghilangkan kelebihan yang ada pada orang yang didengkinya.
Malah, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menggunakan segala cara yang ada termasuk media sosial sehinggalah kepada melanggani ahli sihir semata-mata untuk menjatuhkan orang yang didengkinya.
Ketiga-tiga penyakit hati tersebut ialah racun yang boleh memusnahkan diri dan juga orang lain. Oleh itu, marilah kita jauhi sifat angkuh dan membina sifat merendah diri (tawaduk).
Sayugia jua kita menjauhi sifat tamak supaya segala yang kita miliki dan yang menjadi darah daging kita adalah halal.
Marilah kita contohi Saidina Abu Bakar yang begitu berhati-hati dalam hal makanan tidak halal sehingga sanggup memuntahkan kembali makanan yang dimakannya apabila dimaklumkan ia adalah hasil pekerjaan orang suruhannya sebagai tukang tilik sebelum dia memeluk Islam.
Beliau berpegang dengan hadis yang didengarnya daripada Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ka’ab bin Ujrah yang bermaksud: “Sesungguhnya tiap-tiap daging yang tumbuh daripada yang haram maka neraka lebih utama baginya.”
Dan akhir sekali, jauhilah daripada sifat dengki dan iri hati kepada orang lain. Pupuklah rasa bersyukur dalam diri dan berusahalah untuk memperoleh kelebihan yang ada pada orang lain dengan cara yang betul. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!