Hati-hati meniti puncak kemasyhuran
SEKALUNG tahniah diucapkan buat penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid atas kejayaan memenangi Anugerah Gol Terbaik Sedekad Konfederasi Bola Sepak Asia (ACL) baru-baru ini.
Pada Mei lalu, Safawi turut mencipta sensasi apabila ledakan kaki kirinya itu ketika JDT menentang kelab China, Shandong Luneng pada 9 April tahun lalu melayakkan dia memenangi undian sebagai gol lencongan terbaik ACL 2019.
Dua pengiktirafan yang diterima Safawi di pentas tertinggi bola sepak Asia itu sudah cukup membuktikan betapa kualiti istimewa yang dimiliki anak kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Paling penting, kelibat Safawi kini sudah membuka mata banyak pihak. Dalam situasi sekarang, bukan sesuatu yang mustahil apabila setiap gerak-geri bintang Harimau Malaya itu diperhatikan ‘orang luar’.
Dalam meniti puncak kemasyhuran ketika ini, ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai Safawi mahupun peminat bola sepak Malaysia sudah pasti lega melihat sikap anak muda berusia 23 tahun itu.
Ketika mengulas kejayaannya meraih anugerah berprestij itu, Safawi yang dikhabarkan bakal menyertai kelab Portugal, Portimonense SC selepas tamat Liga Malaysia (Liga-M) musim ini masih dengan sikap merendah diri.
Sambil menganggap anugerah yang diterima sebagai pencetus semangat untuk terus mencipta kariernya, Safawi tetap tidak lupa menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kejayaannya itu.
Itu satu sikap Safawi yang wajar diberi pujian. Apa tidaknya, Safawi kini dianggap antara pemain tempatan yang ‘bernilai tinggi’. Kualiti yang ada pada Safawi sudah cukup meletakkan tanda harga tinggi buat anak muda itu.
Namun, harus diingatkan bahawa Safawi tidak harus alpa dengan sanjungan tinggi yang diterimanya ketika ini. Perjalanan Safawi dalam meniti kariernya masih lagi jauh.
Jika Safawi terus berusaha keras selain kekal dengan sikap terpujinya, bukan satu berita mengejutkan apabila namanya nanti terus meniti di bibir peminat bola sepak Malaysia. Setidak-tidaknya, nama Safawi akan dikenang sebagai antara pemain legenda yang pernah mengharumkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!