Kah Kiat sedia curah bakti, jadi mentor pemimpin muda
KOTA KINABALU - Ketidaktentuan hala tuju generasi ahli politik muda telah menggerakkan hati bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat untuk kembali aktif dalam arena politik dan memainkan peranan lebih berkesan dalam mencorakkan minda pemimpin belia.
Tidak mahu sekadar menjadi pesara politik, tokoh veteran itu kembali semula selepas 13 tahun dengan hasrat mahu mencurahkan bakti kepada golongan muda serta menjadi mentor kepada barisan pemimpin muda politik.
Tokoh politik negeri Sabah berusia 72 tahun itu gusar apabila melihat anak muda kini semakin hilang arah tujuan terutama generasi ahli politik muda menyebabkan beliau kembali untuk membawa perubahan dalam budaya berpolitik dalam kalangan pemimpin baharu.
"Saya khuatir kalau kita tidak keluar dan memberi tunjuk ajar kepada mereka (belia), mungkin mereka akan berada di jalan yang salah.
"Oleh itu, kita mesti mengambil tugas dan tanggungjawab sebagai orang yang 'sudah-sudah' (orang lama) untuk bersama-sama dengan golongan belia supaya mereka mempunyai sikap ikhlas, jujur dan tidak bengkok (tidak tersasar)," katanya kepada Bernama.
Kah Kiat, yang juga Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, keadaan politik di Sabah juga antara faktor beliau kembali aktif dalam dunia politik selepas meninggalkan bidang itu pada 2007.
Menurutnya, beliau berhasrat melahirkan barisan pemimpin muda berintelektual, integriti, cekap, amanah, dan rajin berkhidmat serta berpegang kepada janji.
Beliau berkata, sebilangan pemimpin lebih banyak bercakap soal politik tanpa mengira siang mahupun malam tetapi kurang bekerja ke arah membawa perubahan yang lebih baik untuk masyarakat.
"Selama ini kita terlampau taksub, semua orang politik cakap soal politik setiap hari, setiap malam politik, kerja kurang, cakap banyak," katanya.
Justeru, beliau berkata LDP akan menyampaikan mesej kepada rakyat Sabah khususnya kepada pemimpin muda iaitu apabila bercakap, mesti ditunaikan.
Kah Kiat, yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam akan menghadapi pertandingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Bercerita mengenai penubuhan LDP pada 1989, Kah Kiat yang pernah memegang jawatan sebagai presiden parti itu berkata, beliau yang memilih warna oren pada bendera itu.
Katanya, warna itu membawa makna ketenangan, aman dan damai serta bersopan santun manakala obor pula memberi makna untuk menyemarakkan semangat.
Sementara itu, Kah Kiat berkata, ahli LDP kini tidak hanya khusus untuk masyarakat kaum Cina sahaja tetapi lebih terbuka kepada bangsa lain termasuk bumiputera.
Katanya, LDP tidak bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain yang membolehkan parti itu dapat membuka ruang kepada kaum lain tanpa kekangan.
Mengulas mengenai penglibatan ramai calon bertanding di setiap DUN pada pilihan raya kali ini, Kah Kiat berkata ia menunjukkan sistem demokrasi negara masih subur.
Beliau berkata setiap individu perlu diberi peluang untuk bertanding dan pengundi mempunyai pilihan untuk memilih calon terbaik.
Pada edisi ke-16 PRN Sabah ini, LDP bertanding di 46 daripada keseluruhan 73 kerusi DUN dengan terdiri daripada 12 calon Cina, 13 bumiputera muslim dan 21 Kazadandusun Murut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!