Kah Kiat nafi keluarkan lesen judi

A
A
A

KOTA KINABALU - Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, Tan Sri Chong Kah Kiat menafikan beliau mengeluarkan lesen perjudian ketika menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu.

Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP itu menjelaskan bahawa beliau difitnah.

Kah Kiat berkata, untuk mengeluarkan lesen perjudian terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan melalui Menteri Kewangan.

"Ini bukan saja fitnah, ini soal moral pemimpin yang mengkritik kerana sudah tahu lesen perjudian itu tanggungjawab kuasa kerajaan Persekutuan iaitu menteri kewangan Persekutuan.

"Bukan kerajaan negeri, bukan atas tangan Ketua Menteri Sabah. Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri langsung tiada kuasa terhadap lesen, lesen yang keluar bukan dari peringkat negeri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Unggun Jaya, Sepanggar, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berhubung isu lesen perjudian.

"Ini fitnah, mereka yang membuat cerita ini memang tidak bermoral," katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung keyakinan LDP untuk memenangi di semua kerusi yang ditandingi, Kah Kiat berkata, mereka akan dapat memerintah Sabah jika melebihi 37 kerusi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kah Kiat sedia curah bakti, jadi mentor pemimpin muda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!