Lelaki meninggal dunia ketika daki Bukit Bendera

A
A
A

GEORGETOWN - Seorang lelaki ditemukan mati di kawasan lereng Bukit Bendera, Ayer Itam di sini dipercayai selepas menjalani aktiviti mendaki di bukit itu awal pagi tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Ooi Hock Eng, 51, dari Sungai Ara, Bayan Lepas dekat sini dijumpai oleh pendaki lain yang sedang mendaki Bukit Bendera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.39 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik pihak bomba tiba, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan lereng bukit berkenaan, pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki itu mengesahkan dia telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: