Hasleen dilantik CEO baharu SPNB
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan PRIMA Malaysia, Datuk Hasleen Isnin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang baharu.
SPNB dalam satu kenyataan memaklumkan, Hasleen yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor perbankan dan komersial, dilantik bagi tempoh dua tahun, menggantikan Datuk Seri Ahmad Azizi Ali yang tamat tempoh perkhidmatan.
Sebelum dilantik mengetuai SPNB, Hasleen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam jurusan ekonomi dan Ijazah Sarjana Kewangan dari Washington University, memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Perbadanan PRIMA Malaysia antara 2012 hingga 2016.
Menurut kenyataan itu, beliau juga pernah berkhidmat di pelbagai institusi kewangan serta syarikat multinasional seperti Citibank Berhad dan Malaysian International Merchant Bankers Berhad dengan memegang jawatan di peringkat pengurusan.
"Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan Pengarah di Pejabat Presiden ketika berkhidmat di Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
"Beliau juga pernah dilantik menganggotai lembaga pengarah di beberapa syarikat seperti New Straits Times Press (NSTP), AMI Insurance, Business Day Co Ltd (Thailand) dan kini sebagai Lembaga Pengarah Perbadanan PRIMA Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!