Isu jual haiwan eksotik perlu diatasi segera
PIHAK berwajib diminta perlu lebih kreatif dan proaktif dalam menangani isu penjualan hidupan eksotik di media sosial.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata, isu seperti ini tidak boleh dibiarkan apatah lagi ia boleh mengganggu habitat asal haiwan tersebut.
"Malaysia antara negara yang dikatakan aktif perdagangan dan laluan penyeludupan hidupan eksotik berdasarkan laporan media tentang kejayaan tangkapan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
"Pihak bertanggungjawab mesti menjalankan penyelidikan agresif bagaimana menangani isu perdagangan dalam internet, pemburuan haram dan penyeludupan," katanya.
Menurutnya, kecanggihan komunikasi dan sistem berkaitan membuatkan penjualan haiwan eksotik di media sosial semakin pantas sekali gus memerlukan kajian, kreativiti dan inovasi segera.
"Sebab itu saya melihat kerjasama semua pihak tidak kira Perhilitan, Kastam, pihak berkuasa seperti Polis dan Tentera selain pihak universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting," katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan kebanyakan penjual hidupan liar melalui internet tidak memahami undang-undang hidupan eksotik.
"Mereka mungkin menjual haiwan yang sedia ada di kedai haiwan atau haiwan yang mudah didapati di hutan sama ada melalui orang yang tinggal di tepi hutan atau mereka tangkap sendiri.
"Apabila berlaku komunikasi antara peminta dan pembekal, maka mereka akan cuba mendapatkan haiwan yang diperlukan. Haiwan eksotik seperti kokang, lutong, burung murai menjadi bahan iklan mereka apabila mendapat tawaran," katanya.
Justeru, kata Ahmad, pendedahan dan pendidikan perlu diberikan kepada orang awam untuk mengelak mereka terjebak dalam penjualan mahupun menjadi pembeli haiwan eksotik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!