Bomba galakkan anggota wanita sertai STORM
MARANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggalakkan lebih ramai anggota wanita menyertai Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bagi memudahkan operasi menyelamat melibatkan mangsa perempuan.
Komander STORM, Penguasa Kanan Bomba I, Ismail Abd Ghani berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2011, hanya enam anggota wanita menyertai pasukan elit khas itu termasuk empat pelatih yang berjaya menamatkan latihan mereka hari ini.
“Kita tidak letak sasaran (berapa jumlah) tapi galakkan lebih ramai anggota wanita kerana bila berlaku kecemasan atau tragedi melibatkan mangsa perempuan, bolehlah anggota STORM wanita yang uruskan.
“Bagaimanapun, kita tidak akan merendahkan standart ujian dan latihan STORM semata-mata demi untuk meramaikan anggota wanita. Ujian kecergasan fizikal anggota STORM yang dibuat tetap sama,” katanya pada hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kursus Asas STORM 2020 yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Soiman Jahid di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 45 anggota bomba dari seluruh negeri termasuk empat wanita berjaya menamatkan latihan dan ujian kecergasan fizikal bagi membolehkan mereka menyertai pasukan STORM.
Sehingga kini, terdapat 524 anggota STORM di seluruh negara dengan negeri paling ramai menyertai pasukan elit khas itu adalah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Sabah dan Sarawak iaitu keanggotaan melebihi 40 orang.
Sementara itu Norazizah Nordin, 24, dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, dia nekad menyertai pasukan STORM walaupun sedar latihan yang terpaksa ditempuhi begitu mencabar kerana minat dengan aktiviti lasak.
Dia yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah sejak setahun lalu berkata, latihan sukar dan mencabar mental serta fizikal itu menyebabkan dia hampir berputus asa pada minggu kedua kursus namun berjaya ditempuhi.
“Sangat mencabar terutama bila kami diminta berguling berkali-kali, kalau tidak kuat mental memang akan putus asa apatah lagi kita terpaksa bersaing dengan majoriti pelatih lelaki. Ia begitu memenatkan tapi alhamdulillah saya berjaya lakukan.
“Pada awalnya, keluarga tidak percaya saya mahu sertai STORM sebab saya perempuan tapi mereka tetap sokong cita-cita saya dan beri kata-kata semangat,” katanya yang merupakan penerima Anugerah Teori Terbaik.
Wan Iryani Ariffin, 30, dari Alor Setar, Kedah yang sudah setahun berkhidmat dalam JBPM berkata, latihan paling mencabar dalam STORM adalah ketika berlari membawa bebanan dan hos seberat 20 kilogram dan menyiapkan larian sejauh 2.4 kilometer di bawah 13 minit.
“Kami juga kena berlari tujuh kilometer dalam masa 45 minit, kami tetap buat dan dengan semangat kawan-kawan dan keluarga kami boleh buat.
“Tidak semua perempuan mampu jalani latihan ini dan saya memang target mahu masuk STORM kerana minat dengan tugas dan operasi mencabar,” katanya yang bertugas di Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!