Polis Marin tahan enam kru kapal kargo dari Indonesia
TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan enam kru kapal kargo di kawasan Laut Bergosong di sini selepas dipercayai cuba membawa masuk barangan diragui dan tidak bercukai dari Nunukan, Indonesia ke Malaysia, pada Jumaat lepas.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata enam lelaki Indonesia berumur antara 26 hingga 38 tahun itu ditahan pada pukul 7.40 malam.
"Pemeriksaan ke atas kapal selama tiga hari pada pukul 9 malam menemukan beras pulut hitam (60 kotak), gula merah (145 kotak), Pop Ice pelbagai perisa (62,500 paket), ubat Tjie Tun Hun (48,960 bungkus), Kuku Bima Ener-g (4,320 bungkus), Extrajos (1,800 bungkus) Special UV Whitening (9,600 kotak) dan Seri Manis Neotogen Gold Bell Brand (3,000 bungkus).
"Siasatan mendapati kapal kargo ini membawa barang larangan tanpa permit dan tanpa kebenaran daripada pihak kastam selain kapten kapal turut mengaku bekerja menghantar barang tersebut selepas dimuatkan oleh majikannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Pajeri berkata operasi tersebut dilaksanakan berdasarkan maklumat yang dibangunkan oleh Unit Risikan Marin (URM) PPM yang diketuai oleh seorang Pegawai Kanan bersama 12 anggota Pasukan Polis Marin menggunakan bot ronda RH 17.
"Proses penggeledahan kapal mengambil masa selama tiga hari berikutan keadaan cuaca buruk membataskan proses pemeriksaan," katanya.
Katanya lagi, kesemua rampasan bernilai lebih RM1 juta itu serta enam tahanan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (Pindaan 2018). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!