SPRM ambil dokumen tanah kebun durian Raub
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen berkaitan tanah yang diusahakan pekebun durian di Raub, Pahang untuk membantu siasatan berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri yang mencetuskan kontroversi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan pegawainya telah pergi mendapatkan dokumen itu dari Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Hutan dan Pejabat Renjer Hutan di Raub untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
"Dokumen-dokumen ini sekarang telah diambil oleh SPRM untuk kita kaji kerana perkara ini perlu diteliti dari semua sudut.
"Sehingga kelmarin juga seramai 18 individu yang terlibat mengusahakan tanah telah dirakam percakapan," katanya pada sesi wawancara beliau bersama media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM sahkan hanya 18 pekebun durian Raub dipanggil bantu siasatan
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, siasatan terperinci dilakukan kerana pihaknya tidak boleh mendengar daripada sebelah pihak sahaja.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes itu dan hanya memanggil individu terlibat untuk dirakam percakapan.
"Mereka yang dipanggil ini dikatakan mengusahakan tanah itu dan kita nak tahu kedudukan sebenar perkara ini," katanya.
Dalam laporan media kelmarin, Azam mengesahkan kertas siasatan kes itu sudah pun dibuka SPRM Pahang dan pihaknya akan melihat isu berkaitan salah guna kuasa berhubung penerokaan tanah secara haram yang didakwa berlaku.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata, individu yang terlibat dengan kes penjualan hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia kepada Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) mungkin akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Namun, katanya, beliau tidak boleh memberi ulasan lanjut berhubung kes tersebut yang didedahkan media Australia lima tahun lalu.
"Cuma jangan anggap kami simpan kes ini di bawah karpet. Kes ini masih lagi aktif disiasat. Cuma kita ada sikit tekanan sebelum ini kerana kena beri laluan kepada pihak Australian Federal Police (AFP) untuk menyelesaikan kes mereka dahulu kerana kes ini berlaku di negara itu.
"Jadi kita tunggu dan lihat kes ini berakhir dalam masa terdekat," katanya.
Mahkamah di Australia baru-baru ini membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada Mara Inc pada 2013.
Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi Mara, seorang pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!