Kebakaran kuaters KTMB: Bantuan segera disalurkan
BANGSAR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa-mangsa kebakaran Kuarters KTMB Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar.
Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, selain kementeriannya Yayasan Wilayah Persekutuan juga akan meneliti jenis bantuan yang bersesuaian untuk meringankan beban mangsa bencana ini.
Menurutnya, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga telah bertindak pantas dalam menangani insiden ini dengan menyediakan rumah lain untuk kakitangannya yang terlibat.
"Dua keluarga telah pun diberikan kediaman baharu sementara yang selebihnya akan menyusul.
"Mereka yang belum disediakan kediaman baharu merupakan kakitangan bujang dan untuk sementara waktu ditempatkan di sebuah surau di sini," katanya kepada media selepas melawat lokasi dan mangsa kebakaran.
Khalid berkata, KTMB juga akan menyediakan pengangkutan untuk urusan pergi dan balik kerja mangsa yang terlibat memandangkan ada beberapa kenderaan turut musnah dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, bantuan kewangan sebanyak RM3,000 akan segera disalurkan kepada setiap keluarga dan kakitangan yang terlibat dalam kejadian itu.
“Mereka yang terlibat adalah pekerja di bahagian operasi Wilayah Tengah KTMB antaranya pemandu kereta api, penyelenggara trek, depoh, parkir dan sebagainya.
“KTMB memberi pelepasan cuti dua hari kepada mereka yang terlibat untuk menyelesaikan urusan berkaitan bencana dan kita akan carikan penempatan baharu untuk mereka secepat mungkin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!