Pertambahan penduduk punca subsidi air bersasar
Menteri Besar, Amirudin Shari menjelaskan, berlaku peningkatan kos program disebabkan jumlah penduduk meningkat dari 4.6 juta semasa pentadbiran di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada 6.4 juta penduduk kini.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menambah baik dan mengemas kini pengurusan perbelanjaan mengikut kesesuaian dan keadaan semasa.
"Subsidi bersasar ini bukan langkah terakhir yang kerajaan negeri ambil sebaliknya kita sentiasa menyusun perbelanjaan negeri kepada kedudukan kewangan.
"Seiring dengan tugas saya untuk merangsang dan merancakkan aktiviti ekonomi dalam masa sama memastikan pembekalan air cukup di Selangor," katanya.
Ditanya mengenai kekecewaan rakyat berhubung keputusan kerajaan negeri berhubung isu tersebut katanya, keputusan perlu mengambil kira aspek menyeluruh dan berfokus.
"Saya boleh ambil sikap populis setiap masa tapi saya harus memastikan kedudukan kewangan stabil dan konsisten serta berkemampuan untuk tempoh yang panjang.
"Kerana itu kita susun semula program dan tumpu kepada pembangunan rakyat bagi menyelesaikan masalah banjir, jalan berlubang dan pembinaan kawasan perniagaan baharu untuk jana pendapatan.
"Ada yang curiga tetapi lihat juga pandangan beberapa pihak yang menganggap sudah sampai masanya kita tidak memberi secara pukul rata sebaliknya pemberian itu diberikan secara berfokus kepada mereka yang sangat memerlukan," katanya.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Penjajaran air percuma tiada kaitan ambil alih Splash ]
[ ARTIKEL BERKAITAN: Air percuma di Selangor hanya untuk golongan B40 ]
[ ARTIKEL BERKAITAN: Program air percuma perlu menyeluruh ]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!