Latihan D-MEx elak pertindihan tugas agensi penyelamat

Latihan D-MEx antara pelbagai agensi penyelamat dan kecemasan yang diadakan di Pulau Perhentian, Besut hari ini
Latihan D-MEx antara pelbagai agensi penyelamat dan kecemasan yang diadakan di Pulau Perhentian, Besut hari ini
A
A
A

BESUT- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mempertingkatkan kerjasama antara agensi penyelamat dan kecemasan, bagi mengelakkan pertindihan tugas dalam operasi, khususnya bagi kes kecemasan di laut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, latihan bersama itu juga penting bagi meningkatkan koordinasi dan penyelarasan peranan semasa kecemasan berlaku.

Disebabkan itu katanya, latihan 'Disaster Management Exercise' atau D-MEx antara agensi terlibat dimulakan sejak 2013 bagi mempertingkatkan strategi dalam memastikan kes kecemasan di laut dapat ditangani dengan lebih efisien.

"Kita tidak mahu berlaku pertindihan tugas operasi ketika setiap agensi berusaha untuk memberikan bantuan semasa kerja menyelamat, tanpa menepati hasrat dan tujuan sebenar.

"Jadi, bagi mengelakkan konflik semasa kerja menyelamat dan memastikan kordinasi antara agensi terlaksana dengan baik, latihan D-MEx ini adalah yang terbaik dalam memperkuatkan kerjasama antara agensi penyelamat dan kecemasan.

"Sekiranya berlaku apa-apa kecemasan yang melibatkan orang awam terutama di kawasan-kawasan tertentu seperti di pulau, ia di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tapi bomba akan membantu. Jadi, dengan latihan ini kita boleh pelajari banyak terutamanya dari segi taktikal dan strategi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian D-MEx dan Keselamatan Kebakaran Tahun 2020 JBPM bertempat di Pulau Perhentian, di sini hari ini.

D-MEx berkenaan melibatkan JBPM, APMM, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah Besut, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarela Pulau Perhentian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Hamdan berkata, sebanyak 350 kematian disebabkan aktiviti di air terutamanya di pantai dan sungai direkodkan sepanjang tahun lepas.

"Kita juga dapati statistik kematian di air meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Sehingga Julai lalu, sebanyak 161 kes lemas direkodkan di seluruh negara membabitkan 129 kematian manakala seorang lagi cedera.

"Daripada jumlah itu, kes lemas di sungai merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 103 kes membabitkan 84 kematian dengan Sabah, Sarawak dan Selangor mencatatkan jumlah kes lemas terbanyak.

"Di atas dasar itu, kita sebagai agensi utama di bawah Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) memainkan peranan yang cukup besar untuk memastikan kejadian lemas dapat diturunkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!