Pelitup muka kini jadi barang wajib seisi rumah
SEKARANG ini, Merak Jalanan lihat pelitup muka sudah menjadi barang wajib kepada semua orang.
Sekurang-kurangnya dua kotak pelitup muka diperlukan sebulan sebuah keluarga untuk kegunaan harian, namun ia bergantung kepada jumlah ahli dalam sesebuah keluarga itu.
Disebabkan tuntutan kesihatan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan untuk memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19), Merak Jalanan juga terpaksa memasukkan pelitup muka dalam bajet keperluan khas bulanan.
Kira-kira RM50 sebulan dibelanjakan termasuk untuk cecair pembasmi kuman. Mujur harga pelitup muka sudah murah, tidaklah terbeban sangat untuk keluarkan duit membelinya.
Merak Jalanan tengok, pelitup muka ini kedudukannya dah setanding dengan keperluan lelaki macam syampu, minyak rambut dan pisau cukur.
Bezanya, barang-barang itu masih boleh dikecualikan pembeliannya, tapi pelitup muka pula sebaliknya, malah aemua orang harus memiliki dan memakainya buat masa ini kerana kita masih belum menang menentang Covid-19.
Mungkin ia beban bagi sesetengah keluarga, terutamanya yang bilangan ahli keluarganya ramai. Tapi, Merak Jalanan rasa adalah lebih baik membelanjakan sedikit wang sekitar RM50 sebulan berbanding dikompaun RM1,000.
Bagaimanapun, kita beruntung kerana harga pelitup muka sudah murah berbanding masa mula-mula Covid-19 menular sekitar Mac lalu.
Selain mahal sehingga harganya mencecah RM90 sekotak ketika itu, barang tersebut juga sukar diperoleh kerana penawarannya terhad selain faktor diimport dari luar negara.
Tapi, disebabkan inisiatif syarikat tempatan yang turut mengeluarkan produk pelitup muka sehingga penawarannya setara dengan permintaan dan ditambah pula dengan kawalan kerajaan yang menetapkan harga siling RM1 seunit, pelitup muka kini boleh dibeli pada harga mampu milik sekitar RM20 sekotak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!