Pengundi muda jadi penentu di Sabah

Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. - Foto Bernama
Pemandangan perang bendera antara parti-parti politik yang bertanding seperti BN, PN, Warisan Plus, Parti Cinta Sabah di Keningau. - Foto Bernama
A
A
A

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah refleksi kepada kepentingan pengaruh pengundi muda dalam memenangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang buat kali pertama dalam tempoh 61 tahun.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi pada PRU14 adalah seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi berdaftar. Justeru, pecahan pengundi muda berjumlah lebih tujuh juta mewakili lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi pada ketika itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pastinya menyedari kekalahan BN itu sebahagian besarnya berpunca kegagalan beliau memberikan tumpuan penuh kepada segmen pengundi muda dan saluran media sosial yang sering menjadi rujukan golongan itu.

Sebagai bukti, Najib kini belajar daripada kesilapan lalu dan melakukan transformasi menjadi antara personaliti media sosial paling popular di negara ini.

Menerusi populariti terbaharu dikecapi Najib, ramai pemerhati politik tidak menafikan peningkatan semula sokongan terhadap beliau terutama dalam kalangan golongan muda secara tidak langsung menyumbang kepada kebangkitan BN.

Lebih mengejutkan, faktor pengaruh Najib, ditambah dengan kerjasama Pas dan BN membentuk Muafakat Nasional (MN) dan terbaharu, pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjadi faktor kekalahan calon PH dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) terakhir.

Senario terbaharu ini sekali gus mengubah landskap politik semasa apabila PH kembali menjadi pembangkang dan kini dilihat kurang menyengat berbanding PRU14.

Debaran semua pihak untuk mengharungi PRU15, namun sedikit terbantut apabila kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) Sabah membuat keputusan mengejut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu setelah menerima perkenan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Pola pengundian

Keputusan itu sekali gus membawa kepada pelaksanaan PRN Sabah ke-16 pada 26 September ini meskipun bekas Ketua Menterinya, Tan Sri Musa Aman sebelum itu cuba mencabar keputusan pembubaran berkenaan di mahkamah.

Meskipun banyak faktor memainkan peranan dalam memenangkan sesebuah parti atau gabungan politik pada PRN berkenaan, faktor pengundi muda sekali lagi menjadi perkara tumpuan.

Berdasarkan statistik terkini jumlah pengundi muda dikeluarkan SPR, jumlah pengundi muda berusia 21 hingga 29 tahun adalah 142,398 orang manakala usia 30 hingga 39 tahun mencecah 306,526 orang.

Jumlah mereka adalah 448,924 orang daripada keseluruhan 1,124,598 orang, mewakili hampir 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi PRN Sabah.

Persoalan paling penting, adakah pola pengundian bagi pengundi muda pada PRN kali ini akan mengulangi PRU14 atau berubah menjadi lebih dinamik?

Bagi seorang calon muda BN untuk DUN Tandek di Sabah, Yillson Yanggun, 22, faktor pengundi muda kini lebih signifikan pada saat ini susulan banyak kerusi DUN bakal menyaksikan pertandingan lebih daripada dua penjuru.

“Jadi, golongan muda yang mendominasi platform media sosial mempunyai kuasa mempengaruhi pemikiran keluarga dan masyarakat sekitar, tambahan pula pertembungan banyak penjuru bakal menyaksikan sedikit perbezaan bilangan undi pun sudah memberi kesan besar kepada keputusan PRN,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Yillson Yanggun
Yillson Yanggun

Pandangan Yillson itu berasas kerana jumlah pengundi muda mewakili hampir 40 peratus keseluruhan jumlah pengundi di PRN Sabah dan dikatakan 30 peratus daripada golongan itu masih berstatus pengundi atas pagar.

“Pengundi muda dilihat lebih menumpukan isu-isu ekonomi, peluang pekerjaan dan politik pembangunan di kawasan masing-masing dalam menentukan pemilihan calon, manakala pengundi veteran lebih melihat faktor kepartian, sentimen calon serta kepentingan etnik kaum dan keagamaan.

“Pada PRN Sabah kali ini, saya sendiri melihat pengundi berusia juga mahukan orang muda dan muka baharu menjadi wakil rakyat kerana mereka sudah lama terkongkong dalam kepimpinan tokoh politik veteran bersifat 'warlord',” kata Yillson lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Warisan Plus di depan, GRS mengejar

Gosip Musa Aman ganti Tun Juhar

Sabah milik Malaysia selama-lamanya

Isu tempatan

Seorang lagi calon muda daripada Parti Gagasan Rakyat Bersatu Sabah (Gagasan), Chong Tze Kiun, 28, yang bertanding di DUN Api-Api pula berpandangan 12 calon muda yang bertanding pada PRN kali ini berpeluang mencipta kejutan dalam setiap kerusi DUN ditandingi.

“Saya menjangkakan ramai calon muda dan muka baharu akan menang dengan ramai juga calon penyandang atau 'warlord' politik akan ditolak rakyat Sabah kali ini.

“Para pengundi di Sabah tidak mahu lagi beri ruang kepada calon veteran, tetapi gagal bawa perubahan diharapkan kepada kawasan DUN ditandingi. Mereka sudah serik,” katanya.

Chong Tze Kiun
Chong Tze Kiun

Pandangan Yillson dan Tze Kiun turut dipersetujui penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman menegaskan peluang mana-mana parti bertanding untuk menang sememangnya bergantung kepada keselesaan pengundi muda terhadap dasar pembangunan negeri yang dijanjikan parti-parti itu.

“Jika anak muda gembira dengan dasar diperkenalkan parti bertanding, mereka akan mempengaruhi ibu bapa untuk turut menyokong calon pilihan mereka.

“Jadi apabila berkempen, keperluan saksama perlu ditekankan setiap parti dengan isu tumpuan pengundi Sabah dijangka masih didominasi isu tempatan dan bukan isu nasional,” katanya.

Ditanya sama ada calon-calon muda dan muka baharu berpeluang besar untuk mencipta kejutan pada PRN Sabah, Awang Azman menegaskan keadaan itu masih bergantung kepada faktor keterampilan calon serta parti diwakili mereka.

“Pada dasarnya pengundi Sabah masih akan memilih calon berdasarkan faktor kepartian dan di sebalik kemeriahan amalan demokrasi di Sabah,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi
Awang Azman Awang Pawi

Bagi seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Tony Paridi Bagang pula, dinamik politik negeri Sabah bukan hanya bergantung kepada aspek calon muda dan pengundi muda semata-mata.

“Sebaliknya, faktor pemilihan pengundi adalah mengambil kira demografi kawasan pengundian seperti kawasan bandar, separa bandar, luar bandar mahu pun separa luar bandar.

“Dijangkakan pola pengundian pengundi muda juga mungkin akan berlaku perubahan disebabkan beberapa faktor seperti pilihan calon dan parti bertanding adalah ramai (banyak penjuru),” katanya.

Mengenai senario pertandingan banyak penjuru disebabkan penglibatan banyak parti lokal, Tony berpendapat ia bakal membawa kepada berlakunya pecah undi, sekali gus menjadikan PRN kali ini sangat sengit.

Tony Paridi Bagang
Tony Paridi Bagang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!