Vierge tekad gegar GP Emilia Romagna

Aksi Vierge (kanan) semasa GP San Marino pada Ahad lalu. - Foto Petronas SIC
Aksi Vierge (kanan) semasa GP San Marino pada Ahad lalu. - Foto Petronas SIC
A
A
A

PELUMBA Moto2 Petronas SRT, Xavi Vierge berazam untuk sekali lagi mencabar kedudukan podium pada GP Emilia Romagna di Litar Misano, hujung minggu ini selepas hampir menaiki podium pada GP San Marino minggu lalu.

Pelumba Sepanyol berusia 23 tahun itu berkata, perlumbaan yang bakal berlangsung di litar sama minggu lalu mungkin akan memberikannya kelebihan kerana telah mengetahui serba sedikit mengenai litar berkenaan.

“Perlumbaan minggu lalu adalah perlumbaan terbaik setakat buat saya kerana kami berjaya memperbaiki catatan masa berbanding perlumbaan sebelum ini.

“Kami juga memulakan perlumbaan pada kedudukan terbaik iaitu pada barisan kedua kali ini.

"Bagaimanapun, kesilapan yang saya lakukan pada pusingan pertama membuatkan saya terpaksa berusaha lebih bagi mengejar kedudukan podium yang akhirnya menyaksikan saya sekadar menduduki tempat keempat di akhir perlumbaan,” katanya.

Pada perlumbaan berkenaan Vierge turut mencatatkan masa 40 minit 42.177 saat dan sekali gus menyaksikannya berada pada kedudukan ke tujuh dengan 59 mata dalam siri kejohanan dunia.

Sementara itu, rakan sepasukannya Jake Dixon yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-16 dengan catatan masa 40 minit 24.662 saat turut berharap agar pihak teknikal pasukan dapat melihat dan mengenal pasti masalah yang ada pada jentera yang ditunggangnya.

Menurut pelumba berusia 24 tahun itu, keadaan sisi jentera berkenaan dirasakan bermasalah dan memberikan kesan khususnya ketika membrek.

Artikel Berkaitan:

“Sesi memanaskan badan sebelum perlumbaan Ahad lalu agak baik, tetapi saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan jentera saya.

“Apa pun, saya memang kecewa dengan pencapaian saya pada GP kali ini dan berharap ianya mampu diperbaiki pada perlumbaan akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!