Penyiasat PBB lancar siasatan pembunuhan Khashoggi
ISTANBUL - TURKI. Penyiasat PBB yang menjalankan siasatan ke atas pembunuhan kejam wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi tiba di Istanbul pada Isnin.
Siasatan diketuai pelapor khas PBB, Agnes Callamard itu akan melancarkan misi selama seminggu sehingga 3 Februari depan atas jemputan kerajaan Turki.
Minggu lalu, Callamard memaklumkan beliau masih belum terima jawapan pihak berkuasa Saudi berhubung permintaannya untuk memasuki Konsulat Riyadh di Istanbul yang menjadi lokasi pembunuhan kolumnis The Washington Post itu.
"Saya telah meminta akses ke premis itu dan mesyuarat bersama Duta Arab Saudi di Turki dan permohonan lawatan ke Riyadh," ujarnya.
Difahamkan, beliau turut diiringi tiga pakar yang pakar dalam bidang forensik untuk menyiasat kejadian dan dalang yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan pada Oktober lalu.
Sehingga kini, mayat pengkritik lantang Putera Mahkota Mohammed Salman yang dipercayai telah dilupuskan itu masih belum ditemui. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!